Restoran Ali Maju Wisma Rampai ditutup 14 hari

PEMILIK rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd, Datuk Jawahar Ali Taib Khan mengesahkan menerima notis penutupan salah sebuah cawangan restorannya di Wisma Rampai, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, arahan itu diterima daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini bagi tujuan pembasmian kuman di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Cawangan restoran itu akan ditutup selama 14 hari bagi tujuan pembasmian kuman dan kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Jawahar Ali berkata, sejak awal penularan Covid-19, pihaknya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti mana arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil langkah sepatutnya.

Katanya, menjadi keutamaan pihaknya untuk memastikan segala SOP dipatuhi bagi mencegah penularan wabak terbabit.

“InsyaAllah, saya harapkan tidak ada perkara buruk yang berlaku malah bersedia untuk mengikuti arahan selanjutnya selepas ini,” katanya.

Tular di media sosial hari ini mengenai notis penutupan berkenaan yang dikeluarkan jabatan berkenaan 3.30 petang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19