‘Rezeki bukan lagi di awan’

“MULANYA memang malu kerana berasa comot ketika bertemu dengan pelanggan, tetapi kini tidak lagi” kata bekas pramugari, Nazira Azenan.

Nazira, 32, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisahnya yang tidak lagi bertugas sebagai kru kabin syarikat penerbangan selepas kontraknya tidak disambung majikan.

Turut menerima nasib sama adalah suaminya, Zareq Akhtar Zulkepli, 36, yang ditamatkan perkhidmatan selepas 12 tahun berkhidmat sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan.

Meskipun begitu, pasangan suami isteri berkenaan akur dengan ketentuan dan kini meneruskan hidup dengan menjalankan perkhidmatan mencantikkan kenderaan sejak awal Jun lalu.

Bercerita lanjut, Nazira berkata, suaminya yang memberi idea untuk menjalankan perkhidmatan berkenaan dan dia sekadar mencuba dengan niat mencari rezeki selepas tidak lagi bekerja.

“Kali terakhir saya bertugas sebagai pramugari adalah pada Ramadan lalu sebelum ditamatkan kontrak dan selepas itu, suami pula menerima nasib sama.

“Memang sedih, tetapi saya cuba terima kenyataan rezeki kami berdua hanya setakat itu saja.

“Sebagai permulaan, saya menjual tauhu begedil dan laksa utara, tetapi beralih kepada perkhidmatan mencantikkan kereta hasil cadangan daripada suami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nazira, dia tiada asas dalam bidang berkenaan, tetapi suaminya yang banyak memberi tunjuk ajar berbekalkan kemahiran pernah dipelajarinya daripada seorang rakan.

Selain itu, Nazira dan suaminya turut menjadikan tutorial di YouTube sebagai rujukan dan mengakui sudah dapat membiasakan diri.

Kini, Nazira berkata, mereka sudah membuka kedai yang terletak di Taman Dutamas, Cheras di sini dan tidak lagi kekok.

“Mulanya suami seorang saja kemudian saya membantu kerana kasihan dengannya yang melakukan kerja itu sendiri.

“Sebelum membuka kedai, saya dan suami menawarkan perkhidmatan bergerak iaitu pergi sendiri ke rumah pelanggan mengikut permintaan dan paling jauh ke Pulau Pinang.

“Jujurnya, saya memang tidak tahu menahu mengenai kenderaan terutama teknik menggilap dan lain-lain lagi, tetapi suami banyak mengajar.

“Antara pengalaman menyeronokkan apabila pelanggan memberi layanan baik termasuk menjamu kami makan ketika datang ke rumah mereka,” katanya.

Nazira mengakui bersyukur kerana sudah mempunyai pelanggan tetap biarpun baru dua bulan menjalankan perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun, buat masa ini, dia dan suami tidak mempunyai kakitangan sebaliknya hanya dibantu abang ipar, Alfian Ahmed, 40, yang membantu pada hujung minggu.

“Saya dan suami membuka kedai pada 2 Ogos lalu serta belum ada kakitangan jadi kami berdua yang menguruskan segala-galanya.

“Perkhidmatan ke rumah pelanggan masih ada, tetapi hanya jika ada permintaan,” katanya.

Nazira berkata, jauh di sudut hati, dia dan suami masih mahu bekerja sebagai kru penerbangan jika diberi peluang pada masa akan datang.

“Cuma, kami mungkin perlu kukuhkan dulu perniagaan yang baru bermula ini dan mencari individu boleh dipercayai untuk membantu menguruskan kedai.

“Lagipun, kerjaya itu sudah sebati dengan diri kami terutama suami yang sudah lama berkhidmat sebagai pramugara.

“Apapun, saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku malah ia mengajar saya dan suami untuk bersabar dan cuba teruskan hidup dengan pekerjaan baru. Asalkan halal, sudah cukup buat kami berdua,” katanya.