Rezeki hawa

MENGENDALIKAN tiga program utama di stesen televisyen terkenal, TV3 iaitu Buletin Utama, Wanita Hari Ini (WHI) dan Hello Doktor, pastinya memberi cabaran dan pengalaman berbeza kepada wanita jelita ini, iaitu Hawa Rizwana.

Bersyukur dengan limpahan rezeki yang dikurniakan, Hawa berkata, dia tidak menyangka laluan kerjaya seninya semakin diterima baik dan mendapat kepercayaan daripada stesen televisyen serta penerbit.

Sebagai bukti, setiap kali wajahnya menghiasi kaca televisyen, keletah serta cara penyampaian yang tersendiri berjaya menambat hati ramai penonton. Apatah lagi, penampilannya yang sopan dan ayu, termasuk berani berada di hadapan kamera membuatkan ramai wanita muda menjadikannya idola.

“Alhamdulillah, saya tak sangka kerjaya yang bermula di unit Berita TV9, tiba-tiba ditawarkan pula menjadi pembaca berita untuk slot Buletin Utama TV3.

“Tawaran yang saya dapat pun sangat mengejut apabila ia datang tiga hari sebelum diberi tanggungjawab itu (jadi pembaca berita). Ibarat mimpi jadi kenyataan, apabila pada 1 Januari lalu saya bergelar pembaca berita di Buletin Utama TV3.

BUKAN hanya bijak mengacara, Hawa turut mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
BUKAN hanya bijak mengacara, Hawa turut mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Ketika tawaran itu datang, banyak perkara yang bermain di fikiran seperti adakah saya sudah cukup matang kerana pembaca berita di Buletin Utama bukan calang-calang. Masing-masing mempunyai kredibiliti serta cukup berkaliber.

“Namun, saya enggan tolak rezeki yang datang dan kerjaya ini memang impian saya sejak kecil.

“Meskipun semakin diberi kepercayaan oleh TV3 seperti mengacara program WHI dan Hello Doktor, banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan tidak boleh berada di zon selesa saja,” katanya.

Ayah penguat semangat

Siapa sangka, di sebalik kejayaan diraih kini, Hawa mengakui ayahnya, Ahmad Redzuan yang pernah menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia serta sekarang berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah penguat semangat dan tulang belakangnya.

Kata Hawa, ketika ditawarkan menjadi pembaca berita di Buletin Utama, individu pertama yang dihubungi adalah bapanya.

HAWA Rizwana belum terfikir soal jodoh, beri tumpuan pada kerjaya, pelajaran
HAWA Rizwana belum terfikir soal jodoh, beri tumpuan pada kerjaya, pelajaran

“Saya memang rapat dengan ayah sejak dari kecil lagi. Tanpa dia (ayah), tiadalah saya di sini.

“Ayah adalah tunjang utama kepada kejayaan saya. Dia banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada saya untuk menjadi insan berilmu dan pengacara yang baik.

“Masa kecil dulu, ketika dia ambil saya balik dari sekolah mesti akan minta baca surat khabar bahasa Malaysia dan Inggeris yang dibeli. Saya diminta baca dan tanya makna yang tidak tahu.

“Ayah seorang individu yang hebat dan dialah hero yang selama ini berada di belakang saya untuk melihat saya berjaya,” katanya.

Pilih pengajian dalam negara

Tidak hanya bijak sebagai pengacara, Hawa turut mendapat keputusan cemerlang setiap semester sepanjang mengikuti program Sarjana Komunikasi Massa.

Terkini, menerusi keputusan semester ketiga yang diterimanya baru-baru ini, Hawa tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang meskipun terpaksa membahagi masa antara kerjaya dan belajar.

“Jujur diakui, bekerja sambil belajar memang amat mencabar. Kadang-kadang, rasa nak menangis untuk siapkan tugasan kerana kerja saya tak tentu masa.

“Walaupun setiap semester markah yang diperoleh ada naik turun, tapi saya bersyukur dan percaya perancangan Allah adalah terbaik.

“Tak sangka semester ketiga ini saya memperoleh keputusan cemerlang. Saya harap kejayaan ini dapat memberi motivasi kepada orang luar untuk majukan diri serta berjaya dalam hidup,” katanya.

Tambah Hawa, meskipun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di luar negara, tetapi dia menolak kerana rezeki yang diterimanya sebagai pembaca berita dan pengacara.

Hawa
Hawa

“Memang niat dari dulu nak melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana. Saya bukan nak jadi pensyarah tapi sebab minat dan nak ada kelulusan itu.

“Sebenarnya, saya sudah dapat tawaran belajar dan biasiswa di sebuah universiti di United Kingdom. Tapi, saya lepaskan.

“Kalau boleh nak ikut jejak langkah ayah, namun apabila difikirkan semula saya rasa lebih baik rebut peluang yang ada ini dahulu.

“Bukan senang nak dapat kerja sekarang. Jadi, selepas berbincang dengan keluarga dan pensyarah saya ambil keputusan untuk fokus dengan kerjaya di sini dan lanjutkan pelajaran di UiTM saja,” katanya.

Ditanya juga mengenai soal peribadi, Hawa mengakui hatinya masih belum dimiliki dan masih solo.

Saya belum ada sesiapa lagi dan masih solo. Saya pun belum terfikir untuk mencari pasangan hidup,” katanya.