Ribuan sertai tunjuk perasaan kecam pemerintahan Prayut

Kira-kira 2,500 penunjuk perasaan Thailand berhimpun di Bangkok pada Sabtu menuntut perubahan kerajaan dan pembubaran parlimen, 15 Ogos, 2020. REUTERS

RIBUAN penunjuk perasaan anti kerajaan berkumpul di Monumen Demokrasi di Bangkok bagi mengecam kerajaan susulan ketegangan yang memuncak di negara itu selepas penahanan tiga pemimpin gerakan pro-demokrasi.

Mereka yang memakai pakaian berwarna-warni itu, termasuk kumpulan pimpinan pelajar berdemonstrasi mengecam Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha, yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 dan pentadbirannya sejak bulan lalu.

Gerakan pemimpin mahasiswa mempunyai tiga tuntutan iaitu mengadakan pilihan raya baru, meminda perlembagaan dan menamatkan ugutan terhadap pihak yang mengkritik pemerintah.

Penunjuk perasaan mendesak perubahan kerajaan dan perlembagaan bertulis tentera 2017 dipinda kerana didakwa diperalatkan untuk menjamin kemenangan parti yang bersekutu dengan tentera.

Tunjuk perasaan minggu lalu yang disertai hampir 4,000 orang turut mendesak menghapuskan undang-undang melindungi monarki Thailand yang mengekang usaha bagi membolehkan peranan institusi diraja Thailand dibincangkan.