Riena masih ‘hijau’

SIAPA sangka, selepas membintangi drama bersiri Kampung People di TV3, pelakon, Riena Diana kini berjaya mencipta nama serta dihujani tawaran demi tawaran berlakon.

Biarpun kehadirannya dalam lapangan seni hiburan masih baharu, namun dia tidak menyangka perjalanannya sebagai anak seni dipermudahkan dan meraih kepercayaan ramai.

Kata wanita berusia 23 tahun ini, empat tahun berada dalam industri seni belum cukup untuk dirinya menimba ilmu dan mempelajari teknik lakonan yang betul.

“Saya tak sangka nama dikenali secepat ini. Tahun ini adalah tahun keempat saya dalam industri seni.

“Saya akui ramai pendatang baharu yang bertungkus-lumus membina nama, tapi saya diberi rezeki secepat ini. Namun, saya anggap empat tahun belum cukup pengalaman untuk saya berada di zon selasa.

“Bagaimanapun, saya perlu bersyukur yang pihak stesen TV serta pihak produksi melihat bakat yang saya miliki,” katanya.

Bagi Riena, biarpun kini sudah ditawarkan watak utama namun dia tidak menolak sekiranya ada watak pembantu yang bersesuaian dengan dirinya pada masa mendatang.

“Alhamdulilah selepas drama Kampung People saya kini dapat banyak tawaran watak utama, tapi saya sebenarnya memang tak kisah nak lakonkan watak apapun.

“Bagi saya selagi ada tawaran kerja serta watak yang diberikan mencabar, saya menerima dengan berlapang dada kerana watak kecil atau besar masing-masing ada pengalaman yang tersendiri.

“Saya juga tak pernah terfikir kalau dapat tawaran watak pembantu selepas ini akan ‘downgrade’ diri kerana kerjaya ini sesuatu yang saya minat dan seronok untuk buat dan tak kisah diberikan watak apa sekalipun,” katanya.

SERONOK timba pengalaman, Riena gembira jadi pilihan stesen TV dan pihak produksi. FOTO Rohanis Shukri.
SERONOK timba pengalaman, Riena gembira jadi pilihan stesen TV dan pihak produksi. FOTO Rohanis Shukri.

Kehadiran bakat baharu sememangnya akan memberi cabaran kepada dirinya untuk terus konsisten dalam industri seni, namun Riena yang melangkah ke bidang lakonan menerusi program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) menganggap disiplin adalah kunci utama untuk dirinya kekal konsisten dan relevan.

“Dulu masa saya mula berlakon, ada yang sudah pesan kerjaya ini tidak mudah. Selain penat di set penggambaran, nama juga boleh tiba-tba hilang jika tidak konsisten.

“Jadi untuk memastikan diri terus relevan saya selalu mementingkan disiplin kerana percaya kalau kita buat kerja dengan bersungguh-sungguh orang akan senang dan seronok bekerja.

“Saya perlu akui ketika awal masuk dalam bidang ini saya pasti rasa penat apabila pulang lewat malam hingga terlajak tidur, tapi saya ubah diri jika mahu terus konsisten.

“Saya bersyukur setakat ini menerima maklum balas yang baik mengenai keperibadian diri. Saya nak kekalkan imej yang begini supaya tiada banyak masalah yang saya lakukan di set,” katanya.

RIENA sedia terima peluang berlakon apa sahaja watak.
RIENA sedia terima peluang berlakon apa sahaja watak.

Lakon watak ‘frontliner’

Beralih mengenai pembabitan terbaharunya dalam drama 13 episod berjudul Hadiah Dari Tuhan disamping bintang muda, Syafi Tee katanya, dia teruja apabila diberi peluang untuk menyelami kehidupan anggota barisan hadapan ketika pandemik Covid-19.

“Saya rasa tiada lagi drama yang berkaitan kehidupan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga sekarang dibawakan di TV3. Jadi saya ambil peluang ini dan seronok sepanjang proses penggambaran.

“Rata-rata babak yang dibawakan sama seperti kehidupan sekarang dan apa yang kita lalui ketika PKP tempoh hari. Drama ini juga memerlukan saya bermain dengan emosi.

“Kalau sebelum ini kebanyakan drama dibintangi, saya menangis sebab lelaki, tapi emosi kali ini sedikit berbeza,” katanya yang teruja apabila dapat berganding dengan idola hatinya yang juga penyanyi, Amy Mastura dalam drama itu.

Drama Hadiah Dari Tuhan bakal bersiaran pada 24 Disember ini turut dibintangi Sophie Koshka, Dynas Mokhtar, Fezrul Khan dan Izreen Azminda.

Ditanya juga mengenai kehidupan peribadi, Riena mengakui berkawan rapat dengan ahli perniagaan bernama Nik Afiq.

“Hubungan ini masih baharu dan saya mengharapkan semuanya dipermudahkan. Kami baharu berkenalan hampir satu setengah tahun, tapi belum ada apa-apa perancangan untuk membawa hubungan ini ke tahap lebih serius,” katanya.