Rindu Asrafil akhirnya terubat

DIGELAR siak cilik, Muhammad Asrafil Naufal Mohd Rafi, 7, akhirnya dapat melepaskan rindunya untuk membersihkan Surau AlHijrah, Bandar Springhill di Port Dickson selepas tidak dibenarkan sejak Mac lalu, akibat wabak Covid-19.

Kelibat kanak-kanak itu dilihat sedang membersihkan surau itu sebaik jemaah pulang selepas selesai menunaikan solat Isyak, malam tadi.

Bapanya, Mohd Rafi Ali, 46, berkata, anaknya bongsunya itu merengek mahu ke surau biarpun tidak dibenarkan bersolat bersama kerana bimbang keadaan surau yang tiada terurus.

“Sejak dia berusia dua tahun sudah biasa mengikut saya ke surau dan ke masjid tetapi sejak 18 Mac lalu akibat pendamik Covid-19, dia hanya berkurung dalam rumah selain ke sekolah.

“Dia secara sukarela bertindak seperti ‘siak’ membersihkan sekitar dalam surau, menyapu dan membuang sampah atau mengelap habuk di seluruh kawasan tetapi tidak dapat menjalankan ‘tugasnya’ sejak lima bulan lalu.

“Jemaah surau pun sering bertanya kerana Naufal memang mesra dengan jemaah namun keadaan tidak mengizinkan dia untuk datang kerana usianya baru tujuh tahun,” katanya ketika ditemui.

Bagi Naufal, sudah dua hari dia mencuri peluang melepaskan rindunya kerana sudah lama tidak hadir ke surau bagi menjalankan ‘tugasnya’ biarpun secara sukarela dan tidak bergaji.

“Saya sedih kerana sudah lama tidak dibenarkan datang ke surau menjalankan aktiviti membersihkan kawasan sekitar surau.

“Saya merayu kepada ayah supaya membenarkan saya datang membersihkan surau tetapi ayah kata boleh datang membersihkan surau sebaik jemaah pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, dia berharap wabak Covid-19 segera berakhir dan bebas mengikut ayahnya ke surau atau ke masjid solat berjemaah.

“Solat ramai-ramai (berjemaah) seronok dan sudah lama saya tak dapat berbuat demikian. Biasanya saya datang awal sebelum maghrib kerana perlu membentang sejadah dan menyapu habuk,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19