Rindu bersulam reda

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia turut meninggalkan kesan terhadap warga Malaysia di luar negara.

Pendekatan berbeza diambil oleh setiap negara termasuk sekatan pergerakan menjejaskan rutin normal warganya.

Kumpulan perantau Malaysia yang berada di luar negara, saban tahun merancang kepulangan ke tanah air untuk menjalani ibadat puasa seterusnya berhari raya turut berdepan kekangan sama.

Harian Metro berkesempatan menjejak tiga warga Malaysia di perantauan iaitu di Amerika Syarikat, Australia dan Arab Saudi yang berkongsi pengalaman mengharungi Ramadan dalam tempoh Covid-19.

Kisah 1: Mohd Tariq Azmy

Di sebalik kegembiraan penuntut pengajian doktor falsafah University of Minnessota, Amerika Syarikat (AS), Mohd Tariq Azmy, 34, dan pasangannya, Nur Aqilah Hazian, 29, menanti kehadiran orang baharu, mereka perlu berhati-hati dengan situasi terkini Covid-19 yang memburuk di negara Uncle Sam itu.

“Bagi negeri lain di AS seperti New York, New Jersey dan Michigan, ia mencatatkan jumlah kes positif serta kematian Covid-19 membimbangkan.

Bagaimanapun, di negeri kami tinggal, Minnesota, keadaannya terkawal.

Ini berikutan pendekatan diambil kerajaan negeri yang mengarahkan perintah perlindungan dalam kediaman sendiri shelter in place yang dikeluarkan Mac lalu dengan semua sekolah awam ditutup sehingga September ini.

Apa yang dilakukan kerajaan Malaysia juga berlainan dengan di sini yang kami rasa, kerajaan Malaysia amat mengutamakan pelbagai aspek keperluan rakyat.

Pemerhatian saya, berbanding di tanah air yang sangat proaktif melakukan ujian menyeluruh, di sini peluangnya sangat terhad meskipun ada antara penduduk yang sudah sedia menunjukkan simptom.

Melainkan mereka yang sudah dimasukkan hospital, kumpulan barisan hadapan, mempunyai sejarah penyakit kritikal atau orang tua.

Jika orang biasa, doktor hanya akan meminta mereka duduk di rumah dan sembuhkan diri sendiri.

Alhamdulillah, urusan pengajian juga berjalan lancar dan cabaran lebih tertumpu dalam menguruskan keluarga.

Proses pengajian tidak terganggu kerana ia dilaksanakan atas talian sejak cuti musim bunga lalu dan kami cuba hadkan pergerakan termasuk hanya keluar ketika perlu kerana isteri sedang mengandung selain mempunyai anak berusia empat tahun di rumah, Muhammad Ammar Yusuf.

Tidak dinafikan, survival di negara ini begitu mencabar, topeng penutup hidung dan mulut selain cecair pembasmi kuman tidak dijumpai di mana-mana pun.

Kami menggunakan topeng penutup hidung dan mulut buatan sendiri yang dijahit kawan manakala cecair pembasmi kuman hanya diperoleh selepas begitu lama mencarinya.

Turut terkesan ialah harga keperluan harian meningkat akibat pembelian panik. Ia termasuk tisu tandas yang kekurangan bekalan selain apa sahaja cecair yang berunsurkan disinfeksi kuman, semuanya diborong.

Pada masa sama, sayu sebenarnya meraikan Ramadan kali ini. Rutin kami sekeluarga sepanjang Ramadan lalu ialah bersama komuniti Islam di sini berbuka puasa serta menunaikan Tarawih.

Tahun ini tidak dibenarkan sebarang aktiviti sosial dan kalau ada perhimpunan, jiran boleh membuat laporan polis. Jadi, semua rumah ibadat ditutup.

Bagaimanapun, ia ada hikmahnya kerana kerajaan negeri buat julung kali membenarkan pusat Islam melaungkan azan secara terbuka pada Ramadan kali ini.

Buat keluarga di Cheras dan Damansara, kami selamat di sini dan akan pulang namun bukan dalam masa terdekat kerana banyak yang perlu difikirkan seperti faktor kesihatan,” katanya.

Kisah 2: Noor Suhaila Abu Sarim

Detik paling ditunggu jururawat di Madinah, Arab Saudi, Noor Suhaila Abu Sarim, 29, semestinya untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama suami, Mohamad Zaki Madnan, 29, serta keluarga.

Bagaimanapun, hasrat berkenaan tidak tercapai berikutan sekatan perjalanan dilakukan Arab Saudi dalam mengekang penularan Covid-19.

“Setiap tahun memang saya akan beraya bersama keluarga. Biasanya saya ambil cuti dua minggu.

Ketika ini, kami tidak dibenarkan ke luar negara sehingga pandemik ini benar-benar terhapus. Tiket penerbangan juga sudah dibatalkan.

Walaupun sedih namun saya reda dengan perkara ini. Saya hanya mampu memohon doa daripada suami serta keluarga supaya kami di sini, sentiasa selamat.

NOOR Suhaila.
NOOR Suhaila.

Ketika ini, saya bertugas di sebuah hospital di Madinah yang turut menerima pesakit Covid-19.

Saya masih belum berkesempatan menjaga pesakit Covid-19 kerana ketika ini, skop tugasan saya masih menjaga pesakit luar.

Namun begitu, sebagai jururawat, saya bersama rakan setugas sudah dilatih dan diminta untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menangani pesakit Covid-19.

Kami turut mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai penutup hidung dan muka, sarung tangan selain mencuci tangan setiap kali selepas bertemu pesakit.

Keadaan di sini terkawal, tiada pembelian panik dan sebagainya. Kerajaan juga sudah melonggarkan kawalan pergerakan bagi membolehkan penduduk melakukan rutin penting.

Bagi mengurangkan rasa bimbang keluarga di tanah air, setiap hari saya akan membuat panggilan video, sekurang-kurangnya dua kali,” katanya.

Kisah 3: Mohd Saiful Shahmun Abdul Khalid

Bagi pemastautin di Melbourne, Australia, keadaan ketika ini lebih tenang berbanding minggu pertama kawalan pergerakan dikenakan.

Mohd Saiful Shahmun Abdul Khalid yang juga pekerja pemusnah bangunan berkata, minggu pertama lebih tegang apabila barang keperluan penting terutama tisu tandas dan cecair pembasmi kuman susut dalam pasaran.

Mula-mula kawalan pergerakan dikenakan, memang dramatik juga, kerana tisu tandas orang bertumbuk di pasar raya. Ia memang benar-benar pembelian panik.

Tetapi kini sudah fasa ketiga, orang ramai lebih bertenang dan suasana tidak jauh daripada hari biasa.

Melbourne ketika hari bekerja sebenarnya tidak jauh beza dengan keadaan sebelum Covid-19 menular.

KEADAAN di Melbourne pada hari bekerja tidak jauh beza dengan keadaan sebelum Covid-19 menular.
KEADAAN di Melbourne pada hari bekerja tidak jauh beza dengan keadaan sebelum Covid-19 menular.

Ia hanya ketara ketika hari minggu apabila masyarakat di sini tidak boleh berpesta dan berhibur.

Antara perkara unik mengenai pendekatan kerajaan di sini ialah, rakyatnya dibenarkan bersenam kerana kerajaan beranggapan bahawa aktiviti kecergasan boleh meningkatkan daya tahan imun badan sekali gus membantu menangani kesan Covid-19.

Isu larangan sebenarnya lebih ditekankan kepada perhimpunan sosial dan penguatkuasaan terhadap kesalahan itu memang tegas.

Baru-baru ini, empat keluarga disaman RM4,000 kerana melakukan sambutan hari lahir buat anak mereka walaupun ia dilakukan secara sembunyi selain jemputan hanya membabitkan kenalan rapat saja.

Pada masa sama, rutin komuniti Islam untuk berkumpul bagi berbuka dan solat Tarawih berjemaah juga tidak dapat dilaksanakan.

Ini perkara yang amat menyedihkan kami, mungkin Aidilfitri juga tidak dapat diraikan bersama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19