Rindu rumah nyai, adaptasi dalam The Sims 4

“ENTAH kenapa kebelakangan ini saya asyik teringat rumah arwah nyai (nenek) yang kini didiami pak long dan mak long saya menyebabkan saya cipta rumah itu secara maya,” kata Fatin Nur Athirah Asari, 20.

Selesa disapa Tiya, penuntut tahun satu dalam bidang Sains Komputer (Multimedia) Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tular di media sosial selepas berkongsi gambar rumah arwah neneknya dihasilkan untuk permainan simulasi hidup The Sims 4.

Menerusi hantaran sama, Tiya turut berkongsi gambar rumah sebenar arwah neneknya di Batu Pahat, Johor yang kelihatan sangat serupa dengan ciptaan mayanya.

Menceritakan lebih lanjut, Tiya berkata, dia mula berjinak-jinak dengan permainan simulasi yang cukup popular dalam kalangan remaja dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) itu sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Disebabkan agak biasa dengan selok-belok permainan itu, usaha mengadaptasi rumah berkenaan ke dalam permainan maya itu tidaklah begitu sukar dilakukan.

“Kuliah pengajian saya yang dikendalikan pensyarah secara dalam talian ditangguh seminggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula menyebabkan saya banyak melakukan ulang kaji sendiri.

“Namun pada masa sama, saya cuba mencari sesuatu yang boleh mengalihkan seketika perhatian saya daripada hanya belajar supaya saya tidak bosan.

“Oleh itu, saya hasilkan rumah arwah nyai secara maya di dalam permainan ini dan ambil masa lebih kurang tiga hari untuk siapkan. Saya sudah cuba hasilkan reka bentuk paling tepat namun atas had tertentu yang ditetapkan dalam permainan ini, ada sedikit perbezaan dengan rumah sebenar.

“Tetapi, itupun sudah cukup membawa kembali memori indah saya di sana terutama apabila menjelang Ramadan dan Syawal setiap tahun,” katanya.

Jelas Tiya, rumah arwah neneknya itu menyimpan banyak kenangan indah zaman kanak-kanaknya terutama sewaktu bermain bersama sepupu apa lagi bunga api yang menjadi aktiviti wajib pada malam raya.

Oleh itu, ciptaan berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan rasa rindunya selepas kali terakhir mereka sekeluarga pulang ke rumah tinggalan neneknya itu pada Aidiladha tahun lalu.

“Reka bentuk rumah nyai memang agak klasik malah suasana di sana cukup damai dan muhibah, rumah nyai juga akan dihiasi susunan cahaya pelita pada waktu malam sepanjang Ramadan dan Syawal setiap tahun.

“Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, pelita tidak lagi dinyalakan seperti dulu kerana pak long dan mak long pun sudah berusia namun tetap juga ‘vibe’ pulang ke rumah arwah nyai dinanti setiap tahun,” katanya.

Tiya menjelaskan, sayu juga hati apabila memikirkan adakah mereka sekeluarga akan pulang menyambut Aidilfitri tahun ini di Johor memandangkan PKP belum diketahui akan tamat atau dilanjutkan selepas 12 Mei ini.

“Tahun ini memang giliran beraya di kampung ayah jadi sepatutnya kami pulang ke sana dan bermalam di rumah itu pada raya tahun ini.

“Tetapi, kalau PKP diteruskan, apa kita boleh buat. Saya memang sengaja cipta rumah nenek dalam permainan simulasi terbabit untuk melepas rindu andainya tidak dapat pulang tahun ini,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Sehingga kini, perkongsian asal Tiya membabitkan gambar rumah maya dan rumah sebenar neneknya di laman Twitternya meraih lebih 26,000 tanda suka disertai ulang kicau sebanyak 12,000 kali.