RM1,000 siapa jumpa Atan, Che Tam tak henti nangis [METROTV]

“SAYA risau jika dia (Che Tam) terus menangis begini selagi Atan belum ditemui, sebab itu saya sanggup tawarkan sagu hati kepada mereka yang ternampak dan pulangkan Atan,” kata Azman Umar.

Azman, 29, menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang berjaya mengesan serta mengembalikan tiga kerbau miliknya termasuk seekor diberi nama Atan yang hilang dipercayai dicuri antara jam 6 petang kelmarin hingga 5 petang semalam.

Kisah Atan pernah tular tahun lalu susulan ia dikatakan sebagai kerbau kesayangan malah umpama teman rapat kepada seorang kanak-kanak cilik, Afina Aqila, 6, yang juga anak tunggal kepada Azman dan mesra dengan panggilan Che Tam dalam kalangan ahli keluarga.

Menurut Azman, kehilangan kerbau betina itu disedarinya pada jam 5 petang semalam ketika dia bersendirian ke kandang kerbau terbabit yang terletak di ladang FELDA Lepar Hilir 2, Gambang di Pahang.

Kandang itu katanya, terletak kira-kira lima kilometer (km) dari rumahnya, di dalam ladang kelapa sawit milik bapanya berdekatan kawasan perumahan.

“Rutin melepaskan kerbau ke luar kandang untuk seketika bagi tujuan diberi makan bagaimanapun terbantut apabila pintu kandang dilihat terbuka sebelum mendapati ketiga-tiga kerbau hilang.

“Saya terus hubungi isteri di rumah memaklumkan perkara ini dan apabila isteri saya maklumkan pada Che Tam. Che Tam meraung semahunya.

“Selepas berbuka puasa, saya terus ke balai polis untuk buat laporan dan apabila tiba semula di rumah, Che Tam masih tidak berhenti menangis dan meminta saya bawanya ke kandang.

“Disebabkan tidak sanggup lihat Che Tam terlalu sedih dan merayu seperti itu, saya ikutkan kehendaknya untuk ke kandang. Lama juga saya biarkan dia panggil nama Atan di sekeliling kandang sebelum ajak dia pulang kerana hakikatnya Atan tiada pun di situ,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Azman menjelaskan, Che Tam berterusan menangis bukan saja ketika dalam perjalanan pulang ke rumah malah sebaik tiba di rumah sehingga tertidur sendiri akibat kepenatan menangis pada jam 1 pagi tadi.

“Sejak ayah saya beli Atan ketika umurnya setahun, Che Tam memang terlalu manja dengannya dan boleh dikatakan setiap petang dialah akan ke kandang untuk beri Atan dan dua lagi kerbau makan.

“Namun sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya beritahu Che Tam yang dia tidak boleh ikut ke kandang sepanjang tempoh ini dan Che Tam faham.

“Cuma apabila Atan hilang selepas lebih sebulan tidak dapat jumpa, dia jadi terlalu sedih malah hilang selera makan dan banyak menangis,” katanya.

Azman berkata, sebelum ini, keluarga memiliki 12 kerbau namun kebanyakannya dijual sementara tiga lagi disimpan atas permintaan Che Tam terutamanya Atan.

“Rapatnya mereka sehingga Atan sendiri lebih selesa dengan Che Tam berbanding ahli keluarga kami yang lain termasuk saya dan ayah.

“Jika orang yang mengambil kerbau itu tidak kasihankan saya, saya merayu untuk kasihanilah Che Tam. Fikirkanlah jika haiwan peliharaan kesayangan anak anda hilang sehingga anak berterusan menangis seperti ini,” katanya.

Kisah Che Tam mula tular di media sosial tahun lalu susulan beberapa video dimuat naik Azman ke Facebook (FB) menunjukkan telatah anak perempuannya sedang menghambat kerbau kembali ke kandang sambil menunggang haiwan itu.

Dalam video berdurasi 40 saat itu memaparkan Che Tam berbaju kurung sedang memberi arahan kepada beberapa kerbau dengan menjerit ‘balik’ beberapa kali sebelum menarik perhatian warganet.

CHE Tam bersama kerbau kesayangannya, Atan. FOTO ihsan Azman Umar.
CHE Tam bersama kerbau kesayangannya, Atan. FOTO ihsan Azman Umar.

Berita berkaitan:

  • Comelnya Afina bermain dengan kerbau [METROTV]
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan