Rompakan ketika hujan lebat

Subang Jaya: Seorang penjenayah melepaskan tembakan sebelum melarikan wang tunai RM20,000 dalam kejadian rompakan di sebuah bank di Jalan SS15/4G, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.23 petang itu, lelaki terbabit dikatakan meluru masuk ke dalam bank sambil memegang sepucuk pistol.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian segera ke lokasi.

“Suspek masuk ke dalam bank dan menolak pengawal keselamatan sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah siling.

“Suspek kemudian meluru ke arah kaunter dan mengarahkan pekerja bank menyerahkan wang sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis percaya suspek bersenjata pistol jenis automatik berdasarkan penemuan satu kelongsong peluru di tempat kejadian.

“Kerugian dianggarkan RM20,000 dan semasa kejadian itu hujan lebat. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Deputi Superintendan Yeoh Chun Shyan di talian 03-78627222.