Ruang bersyukur tetap ada

MESKIPUN masih aktif dalam kerjaya seni, penyanyi Lan Solo tetap berusaha gigih memantapkan ekonominya dengan terus menceburi bidang perniagaan untuk menyara keluarga.

Buktinya, Lan bersama isteri tercinta, Sheila kini berganding bahu menjalankan pernigaan Solo Borneo Mart yang membekalkan barangan runcit berupa produk makanan kering asli dari Sabah dan Sarawak.

Hampir setahun perniagaan itu diusahakan, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof berkata sambutan diterima sangat baik daripada pelanggan terutama dalam kalangan warga Borneo yang menetap di Selangor dan ibu kota.

“Saya dan isteri memang ada minat yang sama iaitu berniaga dan sudah mula aktif dalam perniagaan secara kecil-kecilan cukup lama. Alhamdulillah, dari situ kami banyak belajar daripada pengalaman.

“Malah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, kami sangat fokus dengan perniagaan Solo Borneo Mart memandangkan ada membuka kedai di Puchong Prima, Selangor.

“Kala itu (PKP), pelanggan tidak dapat lagi datang ke kedai untuk membeli barangan diinginkan mereka dan kami menukar strategi perniagaan dengan melakukan aktiviti jual beli secara dalam talian. Bagaimanapun, alhamdulillah sambutan tetap sangat baik.

“Sejujurnya, saya sangat bersyukur perniagaan ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan meskipun kini norma kehidupan harian kita sudah berubah akibat penularan Covid-19,” katanya.

Ujar Lan, menerusi sambutan baik pelanggan itu, perniagaan Solo Borneo Mart miliknya sudah membuka sebuah lagi kedai baharu di tempat lebih luas di Kuala Lumpur pula.

Oleh itu, katanya biarpun kebanyakan orang beranggapan tahun ini membawa kesedihan, perlu diingat setiap dugaan daripada Allah SWT itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Sebenarnya, apa yang berlaku ini banyak memberi pengajaran buat kita semua. Biarpun tak dinafikan karier seni saya sediki terjejas, namun tetap kena usaha bekerja cara yang lain untuk terus mendapatkan rezeki.

“Apa-apa pun, saya sekali lagi bersyukur kerana masih mendapat tawaran program daripada stesen TV. Diam tak diam, sudah enam minggu saya bersama Tomok, Indah Ruhaila dan Aina Abdul bersaing di pentas program Vokal Mania di TV3,” katanya.

MESKIPUN karier seni sediki terjejas, Lan ada cara lain untuk terus meraih rezeki.
MESKIPUN karier seni sediki terjejas, Lan ada cara lain untuk terus meraih rezeki.

Berbicara mengenai Vokal Mania yang disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam, Lan berkata sekarang cabaran dihadapi dirinya selaku seorang daripada ‘Idol’ yang perlu melawan ‘rookie’ sangat mencabar dan perlu sentiasa lebih bersedia dalam persembahan.

“Pentas Vokal Mania ini sangat menarik bagi saya kerana banyak belajar perkara baharu daripada penyanyi amatur dan boleh dikatakan perlu sentiasa bersiap sedia dan kreatif. Cabaran daripada ‘rookie’ sukar diduga.

“Dalam soal ini, selaku ‘Idol’ yang memang sudah berpengalaman tidak semestinya kita sudah bagus dan boleh berasa selesa, Sebenarnya, kalau tidak hati-hati kita pasti akan buat silap dan juri pula cukup peka,” katanya.

Sehubungan itu, Vokal Mania yang dihoskan Datuk AC Mizal dan Azira Syafinaz, turut menggandingkan pengarah, komposer dan penyanyi, Yusry Abdul Halim bersama penyanyi Misha Omar sebagai juri tetap untuk menilai persembahan.

Rancang lancar lagu Borneo

Dua dekad sudah berkecimpung dalam industri hiburan, Lan berkata dia sentiasa membuat perancangan teliti untuk kerjaya nyanyiannya yang masih mendapat sokongan peminat.

Lan yang bergerak secara solo dan berkumpulan berkata dia mempunyai beberapa perancangan sudah diatur pada tahun depan, berikutan pada bulan ini jadual kerjanya sudah padat.

“Saya sebenarnya merancang merakamkan lagu solo baharu tahun depan sekitar Januari. Lagu itu sudah ada dan kali ini saya memilih untuk rakamkan karya lagu berkonsep Borneo sebagai penghormatan kepada pelanggan Solo Borneo Mart.

“Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada pelanggan yang terus menyokong perniagaan saya. Bagi saya, tanpa sokongan pelanggan sudah pasti Solo Borneo Mart tidak sekukuh sekarang dengan permintaan produk yang tinggi.

“Untuk projek lagu solo ini, alhamdulillah saya sudah mendapat lagu istimewa hasil ciptaan sepenuhnya daripada penyanyi Marsha Milan dan Velvet AF4. Namun, halangannya kini adalah saya belum berkesempatan masuk ke studio rakaman,” katanya.

Selain itu, Lan berkata dia juga merancang menghasilkan satu album mini yang memuatkan lima lagu baharu dan satu lagu bonus berjudul Seragam Hitam 2020 bersama kumpulannya dikenali Kristal X.

Katanya, sudah tiba masa untuk Kristal X hadir dengan album mini sebagai menghargai sokongan peminat mereka sejak awal pembabitan pada 1999 dan 2000 lalu. Kata Lan, ia juga sebagai memenuhi permintaan peminat yang rindukan album mereka.