Rumahku ‘muzium’ RM2 juta

Alor Gajah: Minat mendalam terhadap barangan terpakai, lama dan antik mendorong Mohd Nordin Mohd Noor, 61, yang menetap di Kampung Brisu di sini, membelanjakan lebih RM100,000 untuk menjadikan rumahnya umpama muzium.

Nordin tidak menduga hobi suka-suka itu kini berkembang dengan jumlah khazanahnya melebihi 10,000 barangan termasuk pelbagai syiling, wang kertas, cawan, pinggan mangkuk, kelambu selain mancis.

Malah, kediamannya yang dikenali sebagai Teratak Seri Solok itu dibuka kepada orang ramai yang ingin melawat tanpa dikenakan sebarang bayaran masuk pada setiap hari.

“Saya puas jika ia menjadi tatapan orang ramai terutama generasi muda yang sebelum ini tidak pernah melihat minuman botol lama, gergaji, peralatan memasak, beg haji dan pelbagai lagi yang digunakan pada awal 1940-an,” katanya.

Lebih menarik, sebut sahaja apa yang mahu dilihat, kebanyakan ada di rumah yang didiami bersama isteri, Fauziah Harun, 60, berikutan empat anak mereka menetap di luar Melaka.

MOTOSIKAL lama antara kenderaan yang dipamerkan.
MOTOSIKAL lama antara kenderaan yang dipamerkan.

Justeru, bagi mereka yang pertama kali melihat barangan antik berkenaan pastinya kagum kerana susunannya yang begitu rapi, sistematik dan menarik.

Kedudukan barangan diatur dengan kemas, mudah dilihat sama ada digantung, diletak dalam almari, rak, atap, para dan di lantai.

“Saya mengumpul barangan ini sejak 2004. Ia diperoleh dari seluruh negara. Kebanyakannya saya beli pada harga murah.

“Ketika saya bekerja di kilang di Kuala Lumpur, saya keluarkan sedikit wang untuk mendapatkan barangan lama. Saya menunggang motosikal dari rumah di Shah Alam, Selangor ke Teratak Seri Solok pada hujung minggu sambil membawa barangan lama dibeli sepanjang perjalanan termasuk di Seremban, Rembau, Tampin dan Alor Gajah,” katanya.

Malah, kediamannya juga umpama kedai menjual kereta dan motosikal berikutan banyak yang disimpan.

“Ada 29 motosikal antik dan lama pelbagai jenis termasuk Honda C50 buatan Jepun serta enam kereta Volvo lama yang pernah saya gunakan sebelum ini.

“Semua kuncinya saya letak pada motosikal dan kereta saja. Ia memudahkan saya menghidupkan enjin atau membawanya pada bila-bila masa,” katanya.

Menurut Nordin, nilai barangan berkenaan lebih RM2 juta namun dia tidak pernah mengambil kira perkara itu.

“Saya simpan semua ini sebagai ingatan dan kenangan buat diri sendiri selain generasi akan datang untuk melihat kembali barangan lama yang pernah berjasa kepada pembentukan masyarakat dan negara,” katanya.

Tidak ketinggalan, pelbagai jenis basikal dipamerkan dalam rumahnya yang masih berkeadaan baik selain beca pernah digunakan ketika majlis perkahwinan seorang daripada anaknya.

Sementara itu, Fauziah berkata, pengunjung perlu mengambil masa lama di kediaman itu terutama bagi mereka yang meminati barangan antik termasuk yang gemar membaca.

“Pelbagai buku lama, akhbar serta kitab disimpan dengan baik di dalam dan luar rumah termasuk majalah Mastika selain Gila-Gila,” katanya.

Menurut Fauziah, koleksi awal penerbitan bahan bacaan itu disimpan dengan baik bagi membolehkan pelawat membuat rujukan dan membaca tanpa jemu.

“Malah, pelbagai sijil diterima suami sepanjang bekerja serta gambar pemimpin termasuk Allahyarham Tunku Abd Rahman dan lesen televisyen masih disimpan dengan baik,” katanya.

PELBAGAI peralatan elektrik lama dipamerkan di Teratak Seri Solok.
PELBAGAI peralatan elektrik lama dipamerkan di Teratak Seri Solok.

Fauziah menggalakkan orang ramai datang ke rumahnya berikutan dia membina inap desa di depan kediamannya dengan sewaan RM50-RM100 semalam termasuk kemudahan kolam renang.

“Kanak-kanak boleh bersiar-siar di kawasan kediaman ini dengan menunggang basikal secara percuma,” katanya.

Kediaman turut dihiasi landskap menarik selain pelbagai jenis pokok herba serta buah-buahan seperti rambutan, durian Musang King, manggis dan markisa.

“Ia melengkapkan Teratak Seri Solok umpama muzium dalam kebun,” katanya.

TELEVISYEN lama disimpan untuk tatapan generasi kini.
TELEVISYEN lama disimpan untuk tatapan generasi kini.