RUU Belanjawan 2021 bacaan ketiga lulus [METROTV]

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan ketiga yang diputuskan melalui undian belah bahagian.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 111 menyokong, 108 menolak dan seorang tidak hadir.

Undian belah bahagian dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi belah bahagian.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga menerusi undian belah bahagi.

Sebaik keputusan dibacakan, Tengku Zafrul bangun untuk mengemukakan permintaan supaya usul RUU Perbekalan 2021 dibacakan kali ketiga dan diluluskan.

“Bahawa dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 (Akta 406), membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih daripada RM69 bilion dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2021.

“Dan bagi tujuan dan butiran Perbelanjaan Pembangunan yang dinyatakan di bawah maksud Pembangunan atau ‘P’ dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021.

“Yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 26 Tahun 2020, adalah diuntukkan di bawah maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai berkenaan,” katanya.

Seorang Ahli Parlimen daripada kerajaan bangun untuk menyokong usul dibentangkan Tengku Zafrul.

“Yang Dipertua, kelulusan belanjawan ini membuktikan Perikatan Nasional adalah kerajaan prihatin dan saya menyokong usul ini,” katanya.

Azhar kemudian mengumumkan RUU Perbekalan 2021 diluluskan selepas mendapat persetujuan dalam kalangan majoriti Ahli Parlimen.

“Maka, usul RUU Perbekalan 2021 ini disetujukan,” katanya disahut dentuman meja oleh penyokong kerajaan manakala terdapat juga laungan ‘pengkhianat’.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia M Saravanan serta P Prabakaran (PH-Batu) mengundi dari Galeri Awam kerana masih dalam kuarantin Covid-19 dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).