Saarani angkat sumpah jawatan MB Perak [METROTV]

Kuala Kangsar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, 11.20 pagi, hari ini.

Terdahulu, Saarani, 59, menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin sebelum mengangkat sumpah di hadapan baginda pada Istiadat Kurniaan Tauliah Lantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, di sini.

Selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kemudian mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara Perak juga di hadapan Sultan Nazrin.

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Suaidi Abdul Rahim.

infografik
infografik

Berangkat sama, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sultan Nazrin telah memberi perkenan pelantikan Saarani berpandukan Perkara 16 Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak setelah pada timbangan baginda ADUN Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pelantikan Saarani adalah susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Dis lalu selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.

SAARANI angkat sumpah jawatan sebagai MB Perak ke-14 di hadapan Sultan Nazrin. FOTO Bernama