Salur secepat mungkin

KERAJAAN memberi jaminan akan menyalurkan bantuan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kelmarin, secepat mungkin.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memahami situasi ekonomi dan kesihatan yang dihadapi dunia ketika ini memberi kesan kepada rakyat.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berani dan bertanggungjawab apabila memperkenalkan Prihatin yang RM250 bilion mewakili 17 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi meringankan beban rakyat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro.

“Kita (kerajaan) mempunyai data yang baik khususnya penerima bantuan golongan B40, peniaga kecil dan PKS bagi memastikan mereka yang layak menerima bantuan dengan cepat.

“Mungkin sedikit cabaran bagi golongan M40 kerana sebelum ini inisiatif dilakukan kerajaan terdahulu kurang sekali memberikan perhatian kepada golongan terbabit. Kita tidak mempunyai data lengkap dan ini yang perlu dipertingkatkan untuk memastikan mereka yang benar-benar layak dapat hak dalam pakej itu.

“Hampir semua rakyat mempunyai akaun (bank), kalau kita sudah mengenalpasti kumpulan sasar dan penerima, maka Kementerian Kewangan dan unit laksana akan memastikan ia disalurkan terus kepada mereka yang layak,” katanya.

Bagi syarikat dan PKS, Mohamed Azmin berkata, inisiatif menerusi subsidi upah RM600 yang diberi selama tiga bulan kepada syarikat dilihat mampu membantu mengurangkan beban aliran tunai yang dihadapi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan satu mekanisme untuk memudah cara semua permohonan supaya kumpulan peniaga terbabit mendapat bantuan dengan segera dalam tempoh PKP.

“Mekanisme sistem perbankan, BNM dan kementerian lengkap untuk menyalurkan bantuan itu, maka tiada alasan untuk buang pekerja. Perdana Menteri tidak mahu melihat pekerja dibuang kerana jika itu berlaku masalah akan lebih rumit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan