Samseng jalanan serah diri [METROTV]

LELAKI yang bertindak di luar kawalan memukul pemandu Perodua Kancil ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 45 tahun itu yang berasal dari Pasir Mas, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 17 April.

Katanya, suspek menyerah diri selepas menyedari video berdurasi 20 saat mengenai tindakannya memukul mangsa tular di laman sosial selain turut mendapat liputan media.

“Suspek mengakui bertindak sedemikian selepas terkejut dengan tindakan pemandu kereta Perodua Kancil yang memotongnya secara tiba-tiba.

“Bagaimanapun, suspek tetap bersalah, malah tindakan itu dianggap sebagai samseng jalanan kerana secara melulu menghimpit kenderaan mangsa sehingga terbabas selain turut memukul menggunakan besi.

“Pihak polis turut menahan kenderaan Toyota Harrier serta merampas baju dipakai suspek ketika kejadian termasuk besi boleh laras dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPD Pasir Mas, hari ini.

PEMANGKU Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas, Asisten Superintendan Mohd Nazri Mohd Yusof menunjukkan kesan kerosakan pada kereta suspek dalam kejadian di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, petang semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
PEMANGKU Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas, Asisten Superintendan Mohd Nazri Mohd Yusof menunjukkan kesan kerosakan pada kereta suspek dalam kejadian di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, petang semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Mohamad Roy berkata, ketika kejadian suspek dan mangsa masing-masing memandu sendirian kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh selepas melawat isteri yang baru melahirkan cahaya mata di rumah mentua di jajahan Pasir Mas.

“Berdasarkan laporan diterima, tiada kesalahan lain yang dilakukan mangsa, kecuali memotong kenderaan suspek namun tindakan suspek sehingga menyebabkan mangsa terbabas selain memukul mangsa adalah keterlaluan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau yang mana-mana dua daripada hukuman ini.

“Selain itu, ia disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dipenjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia bertindak di luar kawalan apabila dia melanggar dan menghimpit kereta Perodua Kancil sehingga terbabas ke dalam parit.

Malahan, suspek turut memukul mangsa berusia 35 tahun dengan menggunakan besi boleh laras dalam kejadian di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, pada 4.46 petang semalam.

Berita berkaitan

• ‘Samseng sungguh [METROTV]’

LAPORAN portal berita Harian Metro malam tadi mengenai tindakan suspek menghimpit kereta mangsa sehingga terbabas sebelum memukul mangsa dengan besi boleh laras.
LAPORAN portal berita Harian Metro malam tadi mengenai tindakan suspek menghimpit kereta mangsa sehingga terbabas sebelum memukul mangsa dengan besi boleh laras.