‘Samseng’ Nepal dah kena cekup

POLIS menahan lelaki warga Nepal yang dipercayai memukul pengawal keselamatan dalam kejadian di parkir kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, lelaki terbabit berusia 34 tahun ditahan jam 5 petang tadi.

Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Suspek ditahan polis hasil daripada risikan dan maklumat awam selepas video berkenaan tular di laman sosial, 31 Julai lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau keduanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek akan direman pagi esok untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju Asisten Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly di talian 017-2446363 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video menunjukkan seorang pengawal keselamatan dipukul.

Klip video yang bertarikh 7 Julai lalu itu menunjukkan seorang lelaki menampar dan memukul lelaki berpakaian seragam pengawal keselamatan dengan sebatang kayu.

Dalam klip video berdurasi 44 saat itu, pengawal keselamatan dipercayai warga Nepal itu tidak melawan ketika dipukul seorang lelaki dipercayai majikannya.

Berita berkaitan:

  • Pukul pengawal keselamatan: Dua warga Nepal disekat keluar
  • • ‘Tunggu masa kena cekup’

    • ‘Lelaki Pakistan pukul pengawal keselamatan diburu’

    • ‘You mari sini cari kerja ke cari masalah’