Samseng sungguh [METROTV]

BERANG kereta yang dipandunya dipotong, seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan melanggar dan menghimpit Perodua Kancil sehingga terbabas ke dalam parit.

Malah, suspek berusia 45 tahun turut memukul pemandu Perodua Kancil berusia 35 tahun, menggunakan besi dalam kejadian di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, Pasir Mas, 4.46 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang memandu Toyota Harrier itu, disyaki marah kepada mangsa yang memotong kenderaannya.

“Mangsa mengakui memotong kenderaan terbabit disebabkan suspek memandu sangat perlahan serta dalam keadaan ke kiri dan ke kanan.

“Sebaik saja mangsa memotong, suspek terus mengekori dan menghimpit sehingga kenderaan mangsa terbabas. Suspek kemudian meluru dan memukul mangsa menggunakan besi sehingga menyebabkan kecederaan.

“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami luka sepanjang tiga sentimeter (cm) di kepala dan bengkak serta calar di lengan. Mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 20 saat tular di Facebook hari ini, menunjukkan seorang lelaki berbaju putih yang tidak berpuas hati memukul pemandu Perodua Kancil menggunakan besi dipercayai selepas berlaku kemalangan.

Mengulas lanjut, Mohamad Roy berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Selain itu, semakan mendapati kenderaan dinaiki suspek didaftarkan atas nama seorang pemilik wanita di Bangi. Pemilik kenderaan sudah dihubungi dan menjelaskan bahawa kenderaan ini diberikan sambung bayar kepada sebuah syarikat kereta di Kelantan.

“Pihak kami masih mengesan suspek dan tindakan lanjut akan diambil atas kesalahan yang dilakukannya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 dan 279 Kanun Keseksaan,” katanya.