Sanggup ancam noda ibu

Jakarta: Seorang lelaki di Sumatera Selatan tergamak mengacukan pistol dan mengancam untuk memperkosa ibunya.

Malah, suspek juga tergamak menembak wanita itu ketika mangsa melarikan diri dari tempat kejadian.

Kompas.com melaporkan lelaki berusia 34 tahun terbabit bertindak menembak ibunya selepas cubaan memperkosa itu gagal.

Bagaimanapun, wanita berusia 52 tahun yang menetap di daerah Penukal Abab Lematang Ilir (PALI) itu terselamat apabila tembakan anaknya itu tersasar.

Ketua Polis PALI, Yudhi Suharyadi mengesahkan menerima laporan mangsa yang sempat melarikan diri ke balai polis berdekatan.

Katanya, pihaknya kemudian menahan suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Polis terpaksa menembak kaki suspek kerana dia melawan ketika ditahan.

“Suspek didakwa mahu memperkosa ibunya sebelum menembak wanita itu ketika berlari menyelamatkan diri namun tembakannya tersasar,” katanya kepada media.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat motif suspek memiliki senjata berkenaan.

“Suspek mengaku membeli pistol itu berharga 400,000 rupiah (RM114) kononnya untuk keselamatan diri sendiri,

“Namun siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui kegunaan sebenar senjata itu.

“Sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara lebih 10 tahun di bawah akta pemilikan senjata api serta cubaan memperkosa,” katanya.