Sathianathan dipecat serta merta: FAS

Kuala Lumpur: Malu dengan kekalahan besar 6-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Sabtu lalu menyaksikan pengendali Selangor, B Sathianathan dipecat serta merta oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), hari ini.

Tempat Sathianathan bakal dipikul sementara oleh Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner sehingga ketua jurulatih yang baharu diumumkan kelak.

Pengumuman pemecatan Sathianathan dan pelantikan Feichtenbeiner diumumkan oleh FAS menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan itu.

“Setelah membuat penilaian dan mengambil kira kesemua aspek prestasi semasa, pihak pengurusan FA Selangor telah memutuskan untuk menamatkan kontrak B Sathianathan sebagai ketua jurulatih pasukan utama secara serta merta.

“Berikutan itu, tugas ketua jurulatih akan dipangku oleh Pengarah Teknikal kelab, Michael Feichtenbeiner sehingga ketua jurulatih yang baharu diumumkan.

“FA Selangor ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada B Sathianathan atas khidmat beliau membawa pasukan Selangor ke tempat ketiga dalam saingan Liga Super 2019 serta mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, kontrak Sathianathan sepatutnya tamat penghujung musim ini selepas beliau mula menyertai skuad Merah Kuning pada musim lalu.

Dengan perkembangan ini, Sathianathan muncul jurulatih kedua dalam saingan Liga-M musim ini ‘direhatkan’ selepas minggu lalu jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail turut menerima nasib sama ekoran prestasi merudum kelab itu.

Berita berkaitan:

  • Salah saya: Sathiananthan
  • Gergasi Merah kena belasah