Satu kematian, 110 kes baharu Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat satu lagi kematian baharu akibat wabak Covid-19, setakat 12 tengah hari ini.

Secara keseluruhan angka korban bertambah kepada 84 kes iaitu 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 110 kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif jangkitan itu adalah sebanyak 5,182 kes.

Beliau berkata, 56 kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes kematian ke-84 (kes ke- 4,711) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung serta darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9 April dan disahkan meninggal dunia pada 12.55 tengah hari tadi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 119 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 2,766 kes iaitu 53.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19