‘Saya hilang dua anak serentak’ [METROTV]

“ARWAH beritahu dia balik semata-mata sebab nak makan satay ‘air tangan’ saya dan saya sempat penuhi permintaan terakhir arwah,” kata ibu kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Padang Tengku, Pahang, semalam.

Rahimah Yusoff, 75, berkata anaknya, Roziah Mohamed Yusof, 22, pulang ke kampung bersama abangnya, Mohamed Rozuan, 32, pada 13 Ogos lalu dan bertolak semula ke Kuala Lumpur jam 2 petang semalam.

Katanya, mereka hanya pulang sekejap dan Roziah dari awal lagi memintanya membuat satay kerana mengidam air tangan ibunya.

“Anak-anak semuanya manja dengan saya, terutamanya Adik (Roziah), saya tak jangka akan kehilangan dua anak serentak.

“Sebaik menerima berita kemalangan yang menimpa mereka malam tadi, kami sekeluarga terus bergerak ke Pahang,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Jering, Jeli, Tanah Merah.

NOR Hafida tidak dapat menahan sebak. FOTO Nor Amalina Alias
NOR Hafida tidak dapat menahan sebak. FOTO Nor Amalina Alias

Jenazah dua beradik itu selamat tiba dengan dua van jenazah Hospital Kuala Lipis pada 5.40 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jering dalam satu liang.

Sementara itu, isteri Mohamed Rozuan, Nor Hafida Abdul Rahman, 32, paling sebak ketika mengiringi jenazah suami dan adik iparnya.

Mohamed Rozuan meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil, Nurul Rania, 6, dan Nurul Raina, 3.

Dalam kejadian 6.40 petang semalam, Mohamed Rozuan dan adiknya, Roziah maut bersama rakannya, Faizul Idzafi Azmi, 34, apabila Proton Wira naiki bertembung dengan lori muatan kelapa sawit dari arah bertentangan.

Seorang lagi rakan mereka, Mohd Zulhelmi Mustafa, 25, daripada Kampung Gong Tok Pek, Keluang, Kampung Raja, Terengganu cedera parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lipis.

Berita berkaitan

• Tiga maut, kereta bertembung lori kelapa sawit