‘Saya kena bijak cari peluang’

PERNAH popular dengan lagu Hantu Atau Buaya pada 2014 dan diikuti Boleh Blah dua tahun kemudian, nama Nana Sheme, 25, bukanlah asing dalam kalangan peminat seni suara.

Bagaimanapun, hasrat untuk menggenggam Ijazah Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuatkan Nana Sheme sanggup melupakan seketika kerjaya nyanyian.

Selepas beberapa tahun fokus pada pelajaran hingga berjaya, tahun ini Nana Sheme atau nama sebenarnya Nabilah Hashimi berkobar-kobar mahu aktif menyanyi semula dan muncul dengan lagu solo baharu berjudul Ragu Ragu pada Mac lalu.

Pun begitu, nasib tidak menyebelahinya apabila lagu itu dilancarkan ketika negara berdepan penularan Covid- 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kurang mendapat perhatian.

Enggan kecewa, Nana Sheme mengambil peluang menyertai program Big Stage 2020. Apapun, ternyata karier nyanyiannya masih dirasa kurang menyerlah dan mungkin perlukan masa.

Mengulasnya, Nana Sheme berkata, dia sedar impak diterimanya selepas Big Stage 2020 tidaklah berpanjangan.

Gadis kelahiran Sarawak ini tak menafikan nama dan bakat nyanyiannya seakan sepi kembali sebaik tamat pertandingan itu.

“Saya tahu memang nampak macam kerjaya nyanyian kurang menyerlah. Namun, ia tidak bermakna saya sedih atau kecewa kerana tahu pada tahun ini pun situasi industri muzik kurang baik. Covid-19 membawa kesan besar kepada semua orang. Apatah lagi, sekarang ini pun tak ada tawaran persembahan. Jadi, saya kena bijak berusaha mencari pendapatan lain untuk menyara hidup.

“Alhamdulillah, saya pun sudah aktif berniaga. Saya baharu memulakan perniagaan jenama tudung sendiri dikenali Freckles Hijab sejak awal Disember lalu. Syukurlah, produk ini semakin dikenali dan dapat sambutan,” katanya.

BIG Stage 2020 pentas pertandingan disertai Nana Sheme pada tahun ini.
BIG Stage 2020 pentas pertandingan disertai Nana Sheme pada tahun ini.

Menurut Nana Sheme, pembabitannya dalam perniagaan juga kerana minat dan dia juga pernah berniaga ketika tinggal bersama keluarga di Sarawak dahulu, jadi tidak sukar memulakan perniagaan baharu.

Berbicara juga cabaran tahun ini, Nana berkata, dia sekuat hati sentiasa memandang ke arah positif. Jika nak fikir terjejas pendapatan, ramai orang lagi turut menghadapi situasi ini.

“Saya sedaya-upaya tidak mahu berasakan diri adalah mangsa PKP. Tidak dinafikan, pendapatan memang terjejas, tapi saya sendiri harus berusaha mencari jalan keluarnya untuk terus bertahan.

“Perlu lebih kreatif mempelbagaikan kemahiran diri. Itu yang kini rancak saya lakukan dengan aktif berniaga. Walaupun ada cabarannya, saya akur cuba berniaga kerana ia menyeronokkan dan memberi ketenangan.

“Adik saya juga memberi galakan dan banyak membantu. Kesibukan menguruskan perniagaan ketika ini banyak memberi saya pengalaman baharu dan ilmu yang berguna untuk lebih berdikari,” katanya.

Menurut Nana, bapanya juga ada membantu dari aspek kewangan, namun tidak mahu terlalu bergantung dengan bantuan keluarga.

Katanya, dia lebih memilih untuk berusaha sendiri kerana sangat selesa dan lebih bersemangat.

LAGU Ragu Ragu, karya solo terbaharu yang dilancarkan Nana Sheme pada Mac lalu.
LAGU Ragu Ragu, karya solo terbaharu yang dilancarkan Nana Sheme pada Mac lalu.

Teruja tampil lagu baharu

Masih menaruh harapan untuk kerjaya nyanyiannya menyerlah, Nana Sheme akan muncul dengan lagu solo baharu pada Januari ini dan ia sudah siap dirakam.

“Saya teruja untuk muncul dengan lagu ini kerana ia sebuah karya yang pernah dirakamkan sebelum ini, tetapi bakal diperkenalkan semula dengan suntikan elemen muzik lebih mantap.

“Sejujurnya, saya juga berbesar hati apabila lagu ini mahu dilancarkan semula kerana percaya dengan potensinya. Selain itu, saya juga sangat yakin pada rezeki serta perancangan Allah yang terbaik,” katanya yang berharap akan diterima baik pendengar.

Sebagai penyanyi, dia sudah memberi yang terbaik dan dia akan terus mencuba.

“Selagi ada ruang dan peluang, saya mahu mencuba. Kejayaan tidak pernah datang bergolek begitu sahaja. Jadi, saya tidak boleh cepat berasa putus asa atau terlalu kecewa. Kehidupan ini penuh cabaran. Justeru, dalam soal begini saya lebih suka berserah. Apatah lagi, dengan fikiran yang positif, saya juga tidak meletak harapan yang terlalu tinggi,” katanya.

Berterima kasih kepada peminatnya yang tidak jemu memberi galakan, Nana Sheme berkata, dengan sokongan itu sangat membantunya untuk terus bersemangat dan berharap kerjaya nyanyian diceburi memperoleh sinar baharu.