‘Saya pergi Turki saja, bukan Holland’

Seri Iskandar: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu mendakwa beliau dan isterinya bercuti ke Belanda ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mohd Khairuddin berkata, gambar tular yang didakwa percutiannya bersama isteri ke Belanda adalah gambar yang diambil empat tahun lalu.

Menurutnya, beliau ke Belanda atas kapasiti peribadi dan urusan kerja pada 2016 hingga 2019.

“Ada sebaran dibuat menyatakan saya ke Holland (Belanda), jadi saya ingin maklumkan saya ke Holland bukan ketika ini (2020), dan ia program sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan aplikasi RRIMniaga peringkat Perak dan pembukaan Panel Torehan Peserta Getah Untuk Pribumi (GUP) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin mengulas dakwaan yang tular di media sosial dan beberapa blog mendakwa beliau turut ke Belanda selain Turki selepas didapati gagal melakukan kuarantin sendiri sekembali dari Turki, Julai lalu.

Dakwaan itu turut tular di beberapa hantaran di Twitter serta dikongsi netizen.

Katanya, susulan itu beliau sudah menguruskan tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat media yang membuat berita palsu mengenai dakwaan berkenaan.

“Saya hanya ke Turki saja (jadi) sesiapa yang membuat berita palsu di Internet tunggulah surat guaman daripada saya. Saya harap tidak ada lagi yang menyebarkan berita palsu,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan terhadapnya selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu, Mohd Khairuddin berkata, siasatan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada polis.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa, saya serahkan kepada polis untuk membuat kenyataan.

“Saya sudah dipanggil dan membuat keterangan sebagai saksi sekali saja dan sekarang sedang menunggu keputusan. Saya dimaklumkan ia akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan