‘Saya rayu nak jumpa TMJ…’

Kuala Lumpur: “Saya merayu nak jumpa TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana nak bongkarkan semua cerita sebenar berkenaan turf (padang hoki sintetik) di Pontian.

“Demikian harapan menggunung bekas pemain hoki negeri Johor, Mohammad Mohan Abdullah yang mendakwa wujud ketirisan dan salah guna dana rakyat dalam pembinaan padang hoki Majlis Daerah Pontian (MDP) di Taman Megah Pontian, Johor.

Katanya, paling menyedihkan padang hoki sintetik membabitkan kos hampir RM1.5 juta itu hanya sempat digunakan sekejap sahaja pada 2017 sebelum ia diarahkan tutup oleh Majlis Daerah Pontian berikutan masalah permukaan padang yang tidak selamat.

Malah berdasarkan pemerhatiannya, penyediaan padang terbabit nyata tidak mengikut spesifikasi sebenar yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH).

Jelasnya, pihak bertanggungjawab yang membina fasiliti itu hanya menggunakan karpet keras berwarna hijau dan meletakkan pelapik biasa di bawah permukaan padang yang akhirnya menyebabkan permukaannya mudah rosak apabila hujan.

“Saya sudah dekat 40 tahun main hoki dan saya memang amat kecewa, bukan saja terhadap Persatuan Hoki Pontian tetapi juga Persatuan Hoki Johor, di mana mereka seolah-olah buat endah tak endah dengan masalah ini.

“Dulu di sini (Pontian) ada dua padang, masa itu Tunku Abdul Majid bagi dua padang hoki kepada daerah Pontian. Tapi kita guna satu sahaja untuk main petang-petang di mana ramai budak-budak bermain termasuk saya juga.

“Tapi apabila difahamkan MDP ada peruntukan untuk buat turf, jadi Persatuan Hoki Pontian pun ambil dana berkenaan untuk buat. Saya dengar mereka empat orang (pegawai dalam Persatuan Hoki Pontian) pergi ke China untuk buat turf,” katanya.

Mohan mendakwa, padang hoki itu bukan padang tiruan sintetik sebaliknya dipasang karpet keras berwarna hijau hingga air tidak meresap.

“Malah dari segi kos perundangan untuk turf itu juga mereka tak buat. Mereka minta tolong saya buatkan dan saya pun buat guna duit sendiri dan saya tak kisah asalkan padang itu boleh digunakan.

“Lepas itu, saya mula anjurkan satu liga hanya sekali saja pada pertengahan 2017, tapi lepas itu saja MDP minta ia ditutup.

Dari 2017 hingga sekarang tahun 2020 tempat itu tak diselenggara dan makin teruk,” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, akhbar ini mendedahkan kepincangan beberapa padang hoki sintetik yang boleh dikategorikan sebagai daif atau barai yang jelas mencalar imej Malaysia selaku antara gergasi hoki di dunia.

Paling dukacita, sudah tentunya padang hoki MDP Taman Megah Pontian yang sudah terbiar hampir tiga tahun sejak 2017 tanpa pembelaan.

Gelanggang hoki berkenaan yang dibangunkan dengan kos jutaan ringgit difahamkan hanya sempat digunakan selama tujuh bulan bermula Mac 2017 sebelum ia ditutup pada Oktober tahun sama berikutan masalah permukaan padang yang rosak secara tiba-tiba.

Masalah sama turut dihadapi oleh penggiat hoki di daerah Pasir Mas, apabila Stadium Hoki Kijang Emas satu-satunya padang hoki di negeri itu tidak dilengkapi beberapa kemudahan seperti tandas dan surau.

“Saya nak jumpa TMJ kerana mahu mendedahkan segala-galanya, bukan sahaja berkaitan turf di Pontian tetapi mengenai pembangunan hoki di setiap daerah di Johor yang selama ini diabaikan oleh Persatuan Hoki Johor.

“Persatuan negeri sebenarnya lebih berminat untuk anjurkan Piala Sultan Johor sahaja, tetapi mereka langsung tak buat pembangunan,” kata Mohan yang kini sudah berusia 60 tahun.