Saya rela ditangkap, masuk penjara – Ahmad Said

“JANGAN tangkap anak buah saya, saya rela ditangkap, (rela) masuk penjara,” itu kata bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menafikan sukarelawannya melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 20 anak buahnya yang merupakan sukarelawan sedang menurunkan bekalan beras daripada lori untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Kijal.

Katanya, dalam masa yang sama beliau menerima panggilan daripada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Samsuri Mokhtar yang memaklumkan mahu singgah di rumahnya.

“Sebaik (Samsuri) tiba, sukarelawan sangat teruja dan sempat mengambil gambar seketika dengan pemimpin mereka (Samsuri) sebelum menyambung semula kerja.

“Budak-budak (sukarelawan) bila jumpa dengan pemimpin nak buat macam mana dan sekiranya perbuatan mereka itu salah, saya minta maaf. Saya rela masuk penjara jangan dakwa sukarelawan saya,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kampung Teluk Kalong, Kijal, hari ini.

Ahmad Said berkata, beliau terpaksa menggunakan ramai sukarelawan untuk mengagihkan bantuan kepada 10,000 penerima di kawasan Kijal.

“Sukarelawan ini bekerja siang dan malam tanpa dibayar upah kerana niat kami untuk sampaikan sumbangan kepada semua penduduk Kijal sebelum Ramadan,” katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan, satu laporan dibuat seorang individu supaya sukarelawannya itu dikenakan tindakan.

Ahmad Said berkata, beliau menjemput individu terbabit untuk bersama-sama sukarelawannya membantu mengagihkan sumbangan kepada penduduk kawasannya.

“Saya jemput dia turun ke Kijal, saya akan bayar tambang, tempat penginapan dan makan minumnya termasuk membuat surat pelepasan kepada Ketua Polis di tempat tinggalnya termasuk kebenaran polis di Kemaman,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terbukti tindakan anak buahnya itu salah, dia rela menerima hukuman.

“Saya rela nak letak 14 hari ke sebulan ke dalam penjara. Saya tak kisah kerana rela berkorban untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, sumbangan barangan makanan yang diagihkan kepada 10,000 penduduk di DUN Kijal adalah membabitkan peruntukan pusat termasuk wangnya sendiri selain diterima daripada penyumbang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan