‘Saya sendiri minta jadi begini’ [METROTV]

“SAYA reda, nak menyesal pun tiada guna kerana saya sendiri yang minta jadi begini,” kata Mohammad Rafiezulanwar Jaffri.

Mohammad Rafiezulanwar memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas menggunting rambut dengan gaya potongan ‘pekan’ bagi menunaikan janjinya terhadap warganet, semalam.

Lebih menarik, anak bongsu daripada enam beradik yang berasal dari Johor Bahru itu membuat siaran langsung menerusi FB Live sewaktu dua rakan membantu memotong rambutnya.

Mohammad Rafiezulanwar bertindak sebegitu apabila meraih 1 juta komen daripada warganet dalam tempoh kurang 24 jam.

Komen berkenaan diterimanya selepas dengan berani memuat naik hantaran gambar potongan rambut ‘pekan’ dan menyatakan kesanggupannya memotong rambut sekiranya menerima 1 juta komen, pagi semalam.

Bercerita lanjut, Mohammad Rafiezulanwar berkata, idea untuk memuat naik hantaran itu datang secara spontan dan tidak menyangka sasarannya tercapai.

“Saya suka lihat gaya rambut di Internet dan dengan yakinnya memuat naik hantaran itu kerana merasakan tiada (sesiapa) yang akan melayan.

“Lagipun, bilangan rakan di Facebook juga tidak ramai dan sebab itu beranikan diri muat naik hantaran berkenaan dengan mulanya mahu meletakkan sasaran 500,000 saja tetapi akhirnya mengubah kepada 1 juta.

“Jujurnya, saya tidak fikir sasaran itu akan tercapai. Jadi, saya teruskan kerja seperti biasa selepas memuat naik hantaran berkenaan tetapi mula rasa gementar apabila melihat komen semakin banyak hingga mencecah 800,000 sebelum mencapai 1 juta,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHAMMAD Rafiezulanwar menunaikan janjinya kepada warganet dengan memotong rambut secara langsung menerusi FB Live. FOTO Mohammad Rafiezulanwar Jaffri
MOHAMMAD Rafiezulanwar menunaikan janjinya kepada warganet dengan memotong rambut secara langsung menerusi FB Live. FOTO Mohammad Rafiezulanwar Jaffri

Menurut Mohammad Rafiezulanwar, dia menyedari sasaran itu tercapai selepas menerima banyak komen daripada warganet menuntutnya menunaikan janji.

Katanya, meskipun belum pernah memotong rambut sebegitu, dia akur selepas mendapat nasihat keluarga dan rakan rapat.

“Kali terakhir saya berambut botak ketika kecil dan tidak pernah lagi selepas itu. Namun, mahu atau tidak saya perlu tunaikan janji dan keluarga ada beri nasihat untuk lakukannya memandangkan saya sudah beri harapan kepada ramai orang.

“Lagipun, apa yang saya minta (komen 1 juta) sudah tercapai jadi nak menyesal pun tidak berguna kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata beginilah jadinya,” katanya yang bekerja sebagai pengemas bilik di sebuah hospital di Singapura.

Mohammad Rafiezulanwar berkata, ada komen negatif diterimanya tetapi lebih ramai memberikan sokongan kepadanya.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus dan bersungguh meninggalkan komen sejak semalam.

“Apa yang mereka minta, sudah saya tunaikan dan niat saya hanyalah menghiburkan orang ramai, tidak lebih dari itu.

“Saya akan kekal dengan potongan rambut sebegini tetapi mengaku sudah serik dan tidak terfikir membuat hantaran seperti itu lagi (pada masa depan),” katanya yang buat masa ini menetap di asrama pekerja di Tampines, Singapura.