Saya serah 100 peratus kepada Allah – Asri Janggut

“TIADA yang ganggu. Saya serah 100 peratus kepada Allah,” kata pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid.

Mohd Asri berkata demikian ketika ditanya sama ada dia menerima ancaman daripada pihak tertentu selepas mendedahkan kewujudan beberapa premis judi, penjualan rokok seludup serta operasi perniagaan haram dalam kalangan warga asing di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Pendedahan itu dibuat menerusi tiga siaran langsung di Facebook (FB) Hot Burger Malaysia sehingga tular sejak kelmarin.

Mohd Asri berkata, dia sendiri tidak menyangka pendedahannya itu akan menarik perhatian ramai kerana hanya berkongsi masalah sebenar berlaku di kawasan berkenaan.

“Kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga lain, saya minta maaf.

“Demi Allah, saya tiada masalah dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak marah sedikitpun.

“Cuma, ada rasa cemburu apabila MBSA kacau kedai saya tetapi tidak ambil tindakan terhadap kedai rokok seludup dan judi hingga mereka dapat beroperasi sehingga jam 3 pagi ketika premis lain sudah ditutup,” katanya menerusi siaran langsung (Live) yang disiarkan di FB Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Siaran langsung itu diadakan selama hampir sejam bermula jam 12.30 tengah hari dan turut dihadiri ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Mohd Asri berkata, lebih membuatkannya terkilan apabila premis judi masih terus beroperasi walaupun selepas aduan dibuat kepada polis.

“Saya terkilan kerana sudah membuat aduan di Bahagian Perjudian Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi panggilan telefon meminta polis datang dan periksa pusat judi bebas dibuka.

“Apabila buat aduan, tutup dua hari kemudian ‘on’ balik. Saya pergi pula hantar aduan kepada jabatan integriti tetapi tidak jalan sebaliknya ada sindiket pula yang berjumpa budak saya (kakitangan) dan bertanya kenapa saya mengganggu perniagaan mereka.

“Kiranya, aduan itu sudah dibuat sejak tiga bulan lalu tetapi keadaan masih sama tetapi tidak sangka pula jadi begini (selepas membuat pendedahan di FB),” katanya.

Bagaimanapun, Asri meminta orang untuk berhenti mengecam polis sebaliknya mengajak semua bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan perjudian atau lain-lain aktiviti tidak bermoral.

“Tolong henti kecam polis. Mereka ini permata harapan.

“Mari sama-sama bantu polis dan saya minta persatuan penduduk serta qariah masjid untuk turut sama memainkan peranan,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berharap orang ramai tidak menuding jari terhadap mana-mana pihak.

“Sebaiknya kita bersama mengambil tindakan, tidak mahu salahkan pihak berkuasa, tak mahu menuding jari.

“Selain itu, kita minta kepada pegawai kerajaan sama-sama membantu memudahkan urusan mereka yang mempunyai masalah perniagaan. Kalau boleh, kita nak wujudkan keharmonian,” katanya.

Berita berkaitan

• Pendedahan Asri Janggut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat

• SPRM cari penguat kuasa lindung perniagaan haram di Sungai Buloh

• ‘Hak polis untuk nafi tapi saya penduduk asal di situ’ – peniaga burger [METROTV]

• ‘Bagus, ada orang berani, ikhlas…’ – KPN

• Polis buat laporan polis terhadap peniaga burger tular

• Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA