‘Saya tak bersedia kahwin lagi’

BAGI setiap manusia yang berpasangan dan mendirikan rumah tangga, tentunya mereka mengimpikan satu kehidupan fasa baharu yang berkekalan dan penuh dengan kebahagiaan.

Namun begitu, jalan cerita pelakon, Natasha Hudson sedikit berbeza apabila empat perkahwinannya sebelum ini berdepan kegagalan sekali gus memaksanya untuk meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal bersama anak-anak tercinta.

Perkahwinan terakhirnya bersama bekas suami, Noor Nashriq Sekarnor yang terikat pada 7 Disember 2018 berakhir setahun selepas itu dan sehingga kini, Natasha tidak lagi bersedia untuk kembali bergelar isteri.

“Saya tak bersedia untuk berkahwin lagi,” katanya ringkas.

Membuka mulut mengenai kisahnya menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, wanita kuat ini mengakui, proses ‘pemulihan’ hatinya masih lagi belum selesai.

“Pernah juga rasa serik, tapi sekarang lebih kepada tak bersedia. Benda lepas pun tak habis lagi. Begitu juga dengan proses untuk pulihkan kelukaan hati. Dalam kata lain, saya baharu nak menapak semula,” katanya.

NATASHA kini aktif dalam sukan memanah berkuda.
NATASHA kini aktif dalam sukan memanah berkuda.

Menempuh kehidupan baharunya, pelakon berusia 38 tahun itu juga tidak menafikan, kerap kali didekati pelbagai individu.

“Saya tak nafikan, ramai yang cuba mendekati dan macam-macam jenis manusia yang saya lihat. Ada lelaki yang mengajak saya untuk menjadi isteri, bahkan ada juga wanita yang ingin melamar saya sebagai madu.

“Kebanyakannya, menghantar mesej di Instagram. Saya pun tak tahu kenapa dan hanya mampu ketawa dengan gelagat mereka,” katanya.

Menurutnya, individu di media sosial boleh datang dengan pelbagai niat yang tidak mampu diduga dan secara tak langsung, menakutkan.

“Kalau nak mengenali seseorang melalui media sosial, bagi saya itu sangat menakutkan kerana dalam zaman sekarang, ada macam-macam jenis manusia. Lainlah kalau saya dikenalkan oleh kenalan dan dari situ bolehlah untuk saya cuba berkawan.

“Pernah sekali, ada lelaki yang mahu mendekati saya. Pada peringkat awal, dia hanya menghantar mesej-mesej biasa, tapi lama kelamaan, dia mula menghantar tangkap layar gambar anak-anak saya dan itu menakutkan,” katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran produk Crystal C White baru-baru ini, Natasha juga tidak lokek berkongsi mengenai kriteria lelaki yang menjadi pilihannya jika masih dibukakan hati untuk bertemu jodoh baharu lagi selepas ini.

JIKA terbuka hati bertemu jodoh, Natasha tak mahu jadikan imej agamawan sebagai salah satu kriteria.
JIKA terbuka hati bertemu jodoh, Natasha tak mahu jadikan imej agamawan sebagai salah satu kriteria.

“Ada juga, terfikir mengenai kriteria lelaki yang saya mahukan. Yang pasti, tak jadikan imej agamawan sebagai salah satu kriteria kerana saya tak boleh nak mengharapkan seseorang yang terlalu sempurna dalam kehidupan saya.

“Kadangkala, ketika sesi perkenalan, semuanya nampak sempurna. Tapi, bila dah mula kenal dengan lebih rapat, mulalah kita nampak ada kecacatan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, dia juga pernah melalui masa silam yang tidak sempurna.

“Sebagai wanita Muslim pun, saya tak mampu nak jadi sempurna. Jadi, saya mengharapkan semoga jodoh saya di masa depan akan mampu menerima masa silam saya dan keluarga saya.

“Perkahwinan ini juga membabitkan seluruh keluarga. Jadi, dia dan keluarganya perlu sukakan saya dan terima saya seadanya. Saya lebih peka mengenai perkara itu,” katanya.

Galas tanggungjawab besar

Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga mengakui, dia datang dengan pakej serta tanggungjawab yang besar.

“Saya bekerja dari muda dan tak pernah meminta apa-apa daripada bekas suami. Saya boleh membina kehidupan saya sendiri dengan melakukan kerja halal serta hidup dalam zon yang ringkas.

“Ramai yang beranggapan, kalau mereka bersama saya, adakah mereka berada di takuk yang sama dengan saya. Pada hal, saya adalah seorang yang ringkas dan mudah.

“Cuma, ada tanggungjawab besar yang saya bawa bersama dan individu itu perlu tahu apa hala tuju dalam kehidupan ini,” katanya.

Sebelum berumah tangga dengan Noor Nashriq, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 dan bertahan selama empat bulan.

Pada 2007 pula, Natasha mendirikan rumah tangga dengan Datuk Shahrin Zahari selama dua tahun dan dikurniakan cahaya mata pertama, Neesa Helena.

Selepas itu, dia berkahwin pula dengan penyanyi Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 sebelum bercerai pada Oktober 2018. Perkahwinan ketiga ini dikurniakan dua cahaya mata, Naeema Kalila dan Faatimah.

Terbaharu, Natasha juga kini aktif dengan sukan memanah berkuda yang diceburinya sejak dua tahun lalu.

“Saya sering berkongsi mengenai sukan ini kerana saya nak masyarakat membuka mata sekali gus mengangkat nama sukan memanah berkuda ke satu peringkat yang lebih tinggi,” katanya.