‘Saya tanya khabar’

AHLI Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau cuba mengejar Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Putrajaya kelmarin, untuk tujuan politik sebaliknya hanya menunjukkan rasa hormat beliau kepada tokoh negara itu.

Mohamed Azmin berkata, pertemuan itu adalah untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha dan bertanya khabar.

“Kita ini orang Islam, orang Melayu serta rakyat Malaysia, kita bukan bersengketa atau bermusuhan sehingga dendam antara satu sama lain. Saya orang muda perlu tunjuk hormat kepada insan yang lebih tua.

“Mungkin kita ada pandangan yang berbeza, tetapi apabila dalam masjid dan apa lagi pada Hari Raya Aidiladha, maka kita harus bertegur sapa dan mengucapkan selamat kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara Negeri Kedah di Dewan Taman Mahsuri, Padang Serai di Kulim, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, pertemuan itu tidak harus ‘disinggung’ dan dipolitikkan walaupun pendekatan beliau dan Tun Mahathir berbeza akhir-akhir ini.

Menurutnya, Mahathir merupakan seorang tokoh negara yang perlu dihormati.

Kelmarin, tular satu video pendek menunjukkan Mohamed Azmin mengejar Mahathir dari belakang dan ia menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat dan pihak tertentu.

Bagaimanapun di laman sosial Twitter milik Azmin, beliau tidak meletakkan video berkenaan dan hanya memuat naik gambar yang menunjukkan beliau berjalan beriringan bersama Tun.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan untuk membangunkan ekonomi negara daripada terus berpolitik sehingga menyebabkan rakyat menjadi keliru.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu mentadbir ekonomi negara dengan baik dan statistik kini membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia kembali pulih berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya.