Sedia 1,000 katil

New York: Sebuah kapal hospital tentera tiba di sini, semalam bagi menempatkan pesakit Covid-19 selepas penularan wabak itu semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS).

Kapal tentera laut yang memiliki 1,000 katil itu kini berlabuh di sebuah jeti di Manhattan selepas berlepas dari Norfolk, Virginia, pada Sabtu lalu.

Fasiliti ketenteraan sepanjang 272.5 meter itu turut dilengkapi beberapa bilik pembedahan.

Ketika ini, lebih banyak negeri di AS menguatkuasakan perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19.

New York menjadi antara negeri paling terjejas dan amat memerlukan lebih banyak katil bagi menempatkan pesakit.

Media melaporkan kapal itu akan digunakan untuk individu yang memerlukan penjagaan rapi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap fasiliti kesihatan sedia ada.

Dalam pada itu, pihak berkuasa di New York juga membuka hospital sementara dengan kapasiti 2,900 katil di Pusat Konvensyen Javits.

Ahad lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan panduan jarak sosial di negara itu dilanjutkan sehingga 12 April.

Ia berikutan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara itu dijangka akan memuncak dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurut panduan itu, perhimpunan atau perjumpaan membabitkan lebih 10 orang dilarang manakala warga tua diminta berada di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19