Sekumpulan dugong kelihatan di pantai selatan Thailand

Kemunculan dugong di kawasan itu disifatkan luar biasa memandangkan spesis mamalia itu semakin terancam. – Gambar Marine National Park, Thailand

PIHAK berkuasa Thailand mendedahkan video sekumpulan dugong yang sedang berenang di sekitar sebuah pulau di selatan negara itu.

Video Jabatan Taman Negara Thailand menunjukkan kira-kira 30 dugong di pesisir Pantai Libong di Wilayah Trang.

Susulan sekatan perjalanan di negara itu akibat penularan COVID-19, ia merencatkan aktiviti pelancongan sehingga menyebabkan kawasan pesisir pantai tidak dikunjungi orang ramai.

Kemunculan dugong di kawasan itu disifatkan luar biasa memandangkan spesis mamalia itu semakin terancam.

Berdasarkan data yang didedahkan, tahun lepas populasi dugong di Thailand adalah sekitar 250 ekor.

Tahun lepas, kisah seekor dugong yang cuba diselamatkan pakar pemuliharaan laut Thailand, mati akibat jangkitan yang disebabkan oleh cebisan plastik yang tersumbat di perutnya mendapat perhatian dunia.