Sekurang-kurangnya 4 minggu kurangkan kes harian – KP Kesihatan [METROTV]

Putrajaya: Negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes harian sehingga 1,000 sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar kes boleh dikurangkan lagi sehingga 500 dalam tempoh berkenaan bagi memberi peluang kepada semua kemudahan kesihatan berupaya menampung dan merawat pesakit Covid-19 di negara ini.

Katanya, dalam tempoh dua minggu ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat data jangkitan Covid-19 untuk mengetahui sama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini, dapat mengurangkan kes jangkitan baharu.

“Kita dah jalankan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 14 Oktober sehingga kini. Kita rasa PKPB mungkin tidak sesuai jadi kita menjalankan PKP sama ada dalam tempoh tempoh dua minggu atau kalau perlu, tempoh maksimum empat minggu.

“Kita tidak mahu PKP ini dilanjutkan kerana ada impak kepada ekonomi tetapi hasilnya kalau kita semua boleh duduk di rumah dalam tempoh dua minggu ini insya-Allah kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Dari dulu lagi kita katakan, kalau setiap rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kita boleh putuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan jangkitan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berpendapat, tempoh dua minggu PKP itu tidak membolehkan KKM mengurangkan kes harian, namun ia boleh mengelakkan pertambahan kes.

Katanya, tempoh empat minggu dijangka boleh mengurangkan kes ke 1,000 atau jika boleh sehingga 500 sehari.

DR Noor Hisham (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Bernama
DR Noor Hisham (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Bernama

“Selepas PKP kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pada Mei dan Jun kita jangka dapat melandaikan jangkitan,” katanya

Dr Noor Hisham berkata, masih terlalu awal untuk KKM membuat unjuran menjelang April depan namun pihaknya berpendapat Malaysia kini berada pada landasan yang betul selain mengharapkan rakyat negara ini patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan