Selamat jalan Pongo Abelii

Putrajaya: Ada antaranya diseksa dan dibiarkan kebuluran di dalam sangkar selain melalui perjalanan jauh dari belantara Sumatera, Indonesia untuk diseludup masuk ke Malaysia menggunakan bot.

Nasib malang dialami spesies Orang Utan Sumatera (Pongo abelii) ini berpunca wujudnya tawaran harga tinggi mencecah RM30,000 seekor bagi spesies primat ini di pasaran gelap.

Namun kebanyakan haiwan jinak negara jiran ini berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum diberikan jagaan rapi di negara ini.

Terbaru, sembilan Orang Utan Sumatera yang diselamatkan hasil rampasan aktiviti penguatkuasaan perdagangan haram hidupan liar di Semenanjung dihantar pulang semula ke ‘tanah air’ asal Indonesia menaiki pesawat kelmarin.

Proses repatriasi itu membabitkan kerjasama antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Perhilitan dan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK) Indonesia.

Penghantaran pulang Orang Utan Sumatera itu adalah obligasi negara di bawah peruntukan Artikel VIII, Teks Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

ANTARA Orang Utan Sumatera yang diselamatkan Perhilitan sebelum ini.
ANTARA Orang Utan Sumatera yang diselamatkan Perhilitan sebelum ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tujuh Orang Utan Sumatera itu dirampas dalam tiga kes pada tahun 2018 dan 2019 oleh Perhilitan, polis Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, semua Orang Utan itu yang diseludup masuk melalui jalan laut diserahkan kepada Perhilitan melalui aduan orang awam pada 2018.

“Semua Orang Utan Sumatera itu ditempatkan di bawah jagaan Perhilitan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak, katanya.

Menurutnya, hasil ujian deoksiribonukleik (DNA) oleh Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan Jabatan Perhilitan mengesahkan Orang Utan itu adalah daripada spesies Pongo Abelii.

“Sehubungan itu, kerajaan Indonesia bersetuju untuk penyerahan kembali Orang Utan itu ke Indonesia.

“Inisiatif kerajaan Malaysia dalam memelihara kesemua Orang Utan ini dan mengembalikannya kepada negara asal membuktikan komitmen tinggi pihak kerajaan dalam menjaga kebajikan hidupan liar diseludup,” tambahnya.

ANGGOTA Perhilitan memeriksa Orang Utan sebelum dihantar ke Indonesia.
ANGGOTA Perhilitan memeriksa Orang Utan sebelum dihantar ke Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Orang Utan adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan turut disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta 686 yang mana spesies itu tidak boleh diperdagangkan, sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.

Menurutnya, proses penyerahan berjalan lancar apabila sembilan Orang Utan Sumatera diterbangkan ke Jakarta, Indonesia melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam kes 8 April tahun lalu, dua anak Orang Utan yang cuba dijual pada harga hampir setengah juta ringgit diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua hasil serbuan di Jeti Nelayan Parit Unas, Muar, Johor.