Selera musang pulut salai

PUTRAJAYA: Tangkap secara haram dan salai lima musang pulut. Tindakan itu bagaimanapun membawa padah apabila seorang pemburu haram warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM290,000.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lelaki itu ditahan jam 5 petang, 11 Julai lalu di Seberang Jaya, Pulau Pinang oleh sepasukan anggota penguatkuasa Perhilitan.

Menurutnya, hasil siasatan dilakukan menemui lima musang pulut sudah dibakar dan disalai oleh lelaki itu yang dipercayai terbabit dengan pemburuan haram.

“Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukti Mertajam untuk ditahan.

“Dia bagaimanapun dihadapkan ke Mahkamah Alam Sekitar, Butterworth, Pulau Pinang kelmarin sebelum dihukum denda RM290,000. Namun tertuduh tidak dapat membayar denda itu menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara 3 tahun sembilan bulan,” katanya.

Kadir berkata, hukuman itu dianggap setimpal dengan jenayah dilakukan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Lebih ramai lagi individu yang ditahan kerana terbabit dalam pemburuan haram akan didakwa di mahkamah. Langkah ini dianggap wajar dalam melindungi khazanah negara dari dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau kelmarin mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemburuan haram melibatkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.

Menurutnya, cadangan meningkatkan hukuman itu daripada denda maksimum RM500,000 dan penjara lima tahun sekarang akan membabitkan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jika tiada apa-apa halangan, kita akan bawa masuk pindaan akta (ke Parlimen) pada hujung tahun ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang bertujuan melindungi hidupan liar dan pemuliharaan hutan di Dengkil di sini.

Abdul Kadir berkata, kes pemburuan haram dikesan membabitkan orang tengah warga tempatan, manakala pemburu haram pula dilakukan ‘orang luar’ dari Vietnam, Thailand dan Kemboja yang biasanya masuk ke hutan selama 90 hari untuk memasang jerat.

“Masalahnya orang tengah itu adalah orang Malaysia yang menyusun atur kemasukan mereka dari sempadan,” katanya.

Abdul Kadir berkata, sebanyak 12 operasi berkaitan pemburuan haram dijalankan tahun ini sehingga Ogos lepas dan 43 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan 86 pesalah serta nilai sitaan sebanyak RM1.37 juta.