Semalaman terperangkap dalam lubang

Johor Bahru: Seorang lelaki terjatuh ke lubang sedalam 4.57 meter di kawasan belukar di tepi Lebuhraya Pasir Gudang – Perling, dekat sini, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Rafie Sareng berkata, mangsa, Kamarulzaman Mohd Ali, 28, dimaklumkan keluar ke rumah rakannya di Damansara Aliff, di sini, jam 5 pagi semalam.

Katanya, keluarga mangsa menghubungi polis sejurus dimaklumkan mangsa terjatuh ke dalam lubang oleh bapanya jam 1.30 tengah hari semalam.

“Polis meminta bantuan bomba dan operasi pencarian dimulakan. Seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sekitar jam 11.20 pagi tadi, mangsa ditemui oleh polis di dalam lubang berkenaan.

“Bomba menggunakan tangga dan tali untuk menyelamat, seorang anggota membawa naik mangsa sebelum diserahkan kepada ambulans untuk tindakan seterusnya.

“Mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan ketika ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.