‘Semoga umrah jadi kenyataan’

WALAUPUN pernah hangat dengan kisah peribadi membabitkan percintaannya, bakat lakonan Zara Zya, 35, sentiasa menjadi perhatian ramai.

Watak air mata lakonannya pasti menyentuh hati. Malah, setiap lakonan dipersembahkan Zara hingga kini boleh dikatakan tidak pernah menghampakan penonton.

Apa yang pasti, penghijrahan Zara yang kini bertudung sejak September tahun lalu cukup menjadi tarikan. Katanya, perubahan itu sebenarnya sudah lama ingin dilakukan.

Berbicara mengenai ketenangannya selepas bertudung, Zara atau nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, sesiapa yang memilih berubah ke arah lebih baik untuk diri sendiri sudah pasti merasai nikmat sebenar itu.

“Nak cakap mengenai tenang selepas bertudung ini, perasaannya saya sangat lega. Alhamdulillah, saya lebih gembira dan sangat bersyukur dengan apa yang Allah berikan ini.

“Malah, kerjaya pun lebih baik apa lagi urusan kehidupan. Saya hanya mampu mengucap syukur dengan nikmat yang diperoleh. Terlalu sukar untuk mengungkapkan dengan kata-kata.

ZARA Zya makin tenang dan sangat lega selepas bertudung.
ZARA Zya makin tenang dan sangat lega selepas bertudung.

“Kini, apa yang saya mahu dan masih harapkan adalah mahu menjejak kaki ke Makkah dan Madinah untuk mengerjakan umrah. Inilah impian saya yang belum dicapai sejak tahun lalu,” katanya.

Menurut Zara, dia begitu berharap rezeki mengerjakan umrah itu dimakbulkan Allah tahun ini. Namun, sayangnya penularan Covid-19 di seluruh dunia belum menunjukkan tanda reda.

“Jika tiada Covid-19 ini, saya mungkin sudah dapat mengerjakan umrah. Namun, kita hanya mampu merancang, tetapi segala-galanya Allah yang tentukan.

“Kita pun tak tahu 2020 yang dinanti-nantikan sejak kecil rupanya berakhir dengan krisis kesihatan berpanjangan apabila seluruh dunia dilanda wabak.

“Untuk saya sendiri, sebenarnya sejak awal sudah menganggap tahun lalu sebagai permulaan transisi negara ke arah lebih maju dan perubahan kehidupan pula sangat baik. Namun, sangkaan itu sama sekali meleset.

“Harapan nak melihat negara ada kereta terbang seperti dibayangkan ketika kecil dahulu tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, kesihatan manusia pula diancam dengan kehadiran virus,” katanya.

Bagaimanapun, Zara berkata, dia masih bersyukur kerana banyak pengajaran diperoleh untuknya bermuhasabah dan kini menjadi orang yang sangat menghargai.

“Maksud menghargai itu sangat besar pengaruhnya dalam diri saya yang kini semakin memahami erti bersyukur. Kalau rasa diri bermasalah, sebenarnya ada orang lain yang lagi besar masalah ditanggung mereka.

“Selain itu, saya juga belajar mengawal diri dalam perbelanjaan. Pada ketika keadaan pandemik yang tidak tahu bila akan berakhir ini kena sentiasa beringat mengenai pengurusan kewangan.

“Banyak perkara positif yang saya dapat sebenarnya untuk diri sendiri di sebalik kemelut wabak ini. Apa yang pasti kini saya sentiasa pegang dalam hati adalah bersyukur dan selalu muhasabah diri,” katanya.

Zara yang pernah mencipta nama menerusi drama Love You Mr Arrogant, Pia dan Seadanya Aku di TV3, hingga kini masih menjadi pilihan kebanyakan syarikat produksi serta stesen TV berikutan persembahan lakonan yang mantap.

LEBIH positif, Zara akui banyak belajar menghargai apa yang dimiliki.
LEBIH positif, Zara akui banyak belajar menghargai apa yang dimiliki.

Kehidupan norma baharu

Zara yang turut bergelar ahli perniagaan ketika ini, mengakui dia makin selesa dengan kehidupan norma baharu yang diterapkan dalam rutin harian sejak tahun lalu.

Kata wanita berasal dari Perak ini, dia suka dengan kehidupan norma baharu ini yang sebenarnya membuka mata kita untuk lebih memberi keutamaan terhadap penjagaan kebersihan.

“Saya sangat menitikberatkan kebersihan. Malah, jika keluar ke mana-mana pun saya pastikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sudah terbiasa rasanya memakai pelitup muka jika keluar rumah atau berada di tempat awam. Malah, keluar rumah bila ada urusan penting sahaja, termasuk kerap mencuci tangan.

“Kini menjadi satu kemestian juga buat saya untuk lebih peka dengan situasi di sekeliling. Cuma, rasa sedikit sedih apabila ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang yang tidak membolehkan bertemu ibu bapa dan keluarga di kampung,” katanya.

Berterima kasih kepada peminat yang menyokongnya setiap masa, Zara berkata, dia gembira kerjaya lakonan masih mampu bertahan dan terus diterima baik termasuk namanya kekal relevan dalam industri hiburan.