Semua setuju

Kuala Lumpur: Kebijaksanaan dalam hal-hal pemasaran dan pengalaman luas mengenai bola sepak Malaysia dan antarabangsa, menjadikan Tan Sri Tony Fernandes calon paling tepat untuk mengisi kerusi nombor satu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai Presiden bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, kemampuan Tony dalam dunia perniagaan dan korporat sememangnya ditagih bagi menaikkan mutu Liga Malaysia (Liga M) ke satu tahap yang lebih tinggi.

Katanya, sejarah sudah membuktikan Tony berjaya mengubah nasib sebuah syarikat penerbangan yang hampir lumpuh kepada paling berjaya dengan meraih keuntungan berbilion ringgit.

“Saya setuju sebab benda itu baik, malah ia selari dengan langkah penswastaan Liga M sekarang. Maksudnya biarlah orang korporat yang uruskan MFL dan saya pun nampak kejayaan Tan Sri (Tony Fernandes) bagaimana mengubah sebuah syarikat yang rugi dulu iaitu Pelangi Air dan ambilnya untuk majukan syarikat itu kepada AirAsia.

“Di mana hari ini jualan tahunan (AirAsia) mencecah berbilion ringgit, jadi pada saya Tan Sri dah berjaya. Menerusi pengalaman korporatnya mungkin boleh membantu naikkan MFL ke satu level yang lain,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard pula, pengalaman Tony selaku pemilik kelab Queens Park Rangers (QPR) di Liga Kejuaraan England dan sebelum itu pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) boleh dimanfaatkan untuk menaikkan nilai komersial Liga M.

“Dah tentu (dilantik Presiden MFL) menarik kerana Tan Sri ini dikatakan individu paling bijak dari segi pemasaran ketika bersama AirAsia. Watak yang dimainkan beliau sendiri boleh dikatakan karakter komersial.

“Bagi saya beliau pakej lengkap yang boleh menarik penaja atau badan korporat untuk melihat blue print beliau, jika beliau ambil jawatan ini.

“Seperti mana beliau berada dengan QPR serta duduk bersama badan pengelola liga di England dalam hal-hal mendapatkan hak komersial TV serta pelabur, mungkin itu yang boleh dibawanya ke dalam MFL dan itu kekuatan yang ada pada beliau,” kata Stanley yang juga bekas pemain skuad Warga Kota.

Nada sama turut diluahkan CEO Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang percaya Tony adalah calon tepat.

“Tan Sri ini bukan orang lain, beliau orang yang ternama dan terkenal di mana kehadirannya dapat memberi suntikan kepada MFL. Pertamanya kewangan, bagi menstabilkan serta dapat bekerjasama dengan kelab seperti Melaka ataupun kelab yang lain,” kata Saiful.

Kelmarin, CEO Kumpulan AirAsia dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) itu menyatakan kesediaan menerajui MFL sekiranya terdapat tawaran.

Jelas Tony, kecintaannya terhadap sukan bola sepak sememangnya menebal dan beliau percaya mampu memberi sumbangan terbaik sekiranya diberi peluang itu.Untuk rekod, pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sabtu lalu, Hamidin menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Presiden MFL dalam masa terdekat bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada tugas selaku Presiden FAM.

Pada kongres itu, Hamidin mempertahankan kerusi nombor satu FAM untuk penggal 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding, sekali gus menyandang jawatan itu buat penggal kedua berturut-turut.