Sentiasa ingin tahu

ENAM tahun lalu, penyanyi James Bay, 30, menggegarkan dunia muzik antarabangsa sehingga mendapat perhatian di Hollywood.

Berasal dari United Kingdom, sekelip mata kerjayanya mekar.

James paling diingati menerusi kejayaan luar biasa albumnya yang berjudul Chaos and the Calm pada 2015. Lagunya tidak pernah berhenti dimainkan di setiap platform muzik hingga ke hari ini.

Berpeluang menemubualnya sendiri baru-baru ini, penyanyi Let It Go itu mendedahkan formulanya untuk terus tampil dengan karya berkesan.

Menurutnya, dia cuma amalkan pendekatan terus ingin tahu setiap masa.

“Sewaktu menghasilkan album Chaos and the Calm itu, saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi pun untuk ia diterima sebegitu rupa. Matlamat saya cuma mahu kongsikan karya bermutu untuk kepuasan pendengar.

“Saya sentiasa memiliki sifat ingin tahu dalam segala hal termasuklah apa yang menjadi cita rasa pendengar. Hakikatnya, disebabkan sifat itu jugalah membuatkan saya sentiasa memastikan dapat capai apa yang saya mahukan.

“Tanpa sifat itu, tidak mungkin terlihat jelas transformasi muzik saya. Saya tidak akan berhenti untuk sentiasa mencari apa juga perkara baru dalam hidup yang boleh dijadikan bekalan memperbaiki diri,” katanya.

Demikian juga perihal mengenai keyakinan dirinya sebagai penyanyi, James berkata, dia sentiasa percaya pada diri.

Baginya, sifat itu teramat penting untuk ada dalam diri sebagai artis.

Justeru, dia tidak pernah sekali pun memberi ruang buat dirinya merasa sangsi.

Menurutnya, rasa sangsi dalam berkarya mampu membunuh fokus dirinya terhadap apa juga diusahakan dalam muzik.

“Ia satu pertanyaan yang sangat bagus. Tidak, saya takkan pernah ada rasa sangsi setiap kali lancarkan sesebuah lagu. Rasa sangsi sebenarnya tidak baik untuk ada dalam diri terutama jika ingin jual muzik.

“Bagaimanapun, saya akui jika perasaan sedikit tidak pasti itu memang adalah. Terdapat garis halus yang memisahkan antara perasaan sangsi dan tidak pasti.

“Namun, saya memang tidak akan membiarkan diri dibelenggu sangsi. Berasa sangsi itu adalah tidak sihat dan saya kena terus fokus untuk salurkan usaha yang berterusan dalam karier,” katanya.

Tampil dengan lagu baharu berjudul Chew On My Heart, menariknya karya itu seakan berbeza hala tujunya berbanding lagu terdahulu. Memilih rentak lebih riang, lagu itu sedikit lari daripada identiti James.

JAMES terharu berkongsi studio dengan legenda Dolly Parton.
JAMES terharu berkongsi studio dengan legenda Dolly Parton.

Sebelum ini dia dikenali dengan karakter berwajah ketat dan sedikit misteri. Demikian juga lagu-lagunya kebanyakan berunsurkan permainan emosi yang sangat dalam.

Menjelaskan pemilihan single itu sebagai pertaruhan terbaru, James berkata, dia memang mahu sajikan lagu yang boleh meriangkan hati ramai. Yang pasti, dia sendiri tidak sangka lagu itu dilancarkan tanpa menduga dunia berdepan pandemik Covid-19 pula.

“Untuk pertaruhan kali ini, saya inginkan lagu yang memiliki rentak rancak dan mampu menggetarkan hati pendengar. Tidak sangka pula lagu yang ditulis sudah lama ini kebetulan dilancarkan pada musim pandemik sekarang.

“Justeru, saya rasa ia satu kebetulan yang sangat indah. Ketika ramai ditimpa dugaan berat dengan keadaan sekarang, saya harap sangat lagu saya ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan hari mereka,” katanya.

Bakal tampil dengan album penuh baharu pada tahun ini, James juga jelas teruja dan tidak sabar berkongsi buah tangannya itu. Apalagi, dia bekerjasama dengan beberapa penerbit muzik handalan termasuk Dave Cobb.

Menurutnya, pembikinan album terbabit sememangnya cukup memberi kenangan indah buatnya. Mana tidak, dia merakamkan album itu di sebuah studio legenda di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat.

“Saat paling saya suka adalah sewaktu penerbit cakap, tempat saya berdiri dalam studio itu adalah tempat Dolly Parton rakamkan lagu I Will Always Love You dan Jolene. Memang perasaannya cukup mengagumkan,” katanya.

James bagaimanapun belum mendedahkan bila waktu tepat dia bakal lancarkan album baharunya itu. Pastinya album itu ditunggu ramai apalagi tahun lalu album terdahulunya kurang menjadi bualan.