Sentuhan cap jari kanan Vivian

MAGIS seni melukis dengan hanya menggunakan cap jari olahan Vivian Ng Suet Yuan ini pasti membuat sesiapa saja terpegun dengan kerja seni yang dihasilkannya.

Lebih membanggakan, Vivian, 28, melakarkan karya pertama dengan sentuhan cap jari kanannya itu dengan menghasilkan potret Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Lukisan berukuran 180 sentimeter (cm) panjang dan 126 cm lebar yang dihasilkan Vivian itu menggunakan sembilan kanvas dan ribuan cap jari kanannya.

Dia turut menghasilkan dua potret menggunakan cap jarinya, iaitu potret Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan yang baginya memainkan peranan penting dalam mencapai kemerdekaan Malaysia.

“Saya ingin membangkitkan kembali peristiwa bersejarah negara ketika mencapai kemerdekaan pada 1957, sebab itu karya ini saya hasilkan dengan memaparkan wajah tokoh-tokoh berkenaan,” kata Vivian kepada Harian Metro.

Vivian menunjukkan potret cap jari (dari kiri) Tun Tan Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun VT Sambanthan yang dihasilkannya. FOTO Ihsan Vivian Ng Suet Yuan
Vivian menunjukkan potret cap jari (dari kiri) Tun Tan Cheng Lock, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun VT Sambanthan yang dihasilkannya. FOTO Ihsan Vivian Ng Suet Yuan

Menurutnya, penghasilan potret ketiga-tiga tokoh itu juga sebagai mesej kepada orang ramai dan penggiat seni mengenai kepelbagaian budaya negara.

Katanya, penggunaan tiga warna kuning, merah dan hitam pada potret Tunku Abdul Rahman sebagai simbolik tiga bangsa utama di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India.

“Saya tidak mampu membuat perubahan atau menyumbangkan sesuatu yang besar kepada negara.

“Sekurang-kurangnya saya berharap lukisan ini mampu mengingatkan rakyat kita tentang semangat patriotisme,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai karya yang diberi nama ‘Hargai Keharmonian’ itu, Vivian berkata, ia mengambil masa lima hari untuk disiapkan.

Katanya, lukisan yang dihasilkannya dengan menggunakan cap jari itu kini dipamerkan Galeri Niuniu miliknya di Sungai Chua, Kajang, Selangor.

“Saya berhasrat untuk menjual karya ini. Untuk potret cap jari Tunku Abdul Rahman saya bercadang menjualnya pada nilai RM8,888 dan dua potret lagi bernilai RM6,666,” katanya.

Vivian yang berasal dari Bentong, Pahang, menceburi bidang seni sejak usia enam tahun lagi dan menyambung pengajian sarjana muda di universiti swasta sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Arkitek Landskap di United Kingdom (UK).

Dia yang juga pengasas Galeri Niuniu dan seorang pensyarah berharap keharmonian antara semua kaum di Malaysia terus terpelihara.

Terdahulu, Vivian memuat naik proses penghasilan potret berkenaan di Youtube milik galerinya dan mendapat lebih 1,900 tontonan setakat ini.