Sentuhan piano Amirullah tarik perhatian

“KEBETULAN pada waktu itu saya perlu hantar makanan kepada pelanggan di pusat belia terbabit, jadi saya ambil peluang main piano yang ada di situ sebelum beredar,” kata Muhammad Amirullah Mohd Zin, 22.

Amirullah mulai tular di media sosial selepas video memaparkan dia bermain piano di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras dikongsi seorang pengguna Twitter beberapa hari lalu.

Dalam video itu, Amirullah dilihat memainkan dua lagu iaitu Kisah Cinta Kita nyanyian Hafiz Suip dan Havana oleh Camila Cabello sambil menggalas beg ‘runner.’

Menurut Amirullah, disebabkan kesibukan kerja sebagai runner sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mengambil peluang melepas rindu dua minggu tidak menyentuh piano dengan bermain di pusat belia terbabit walaupun sekejap.

Jelas anak kedua daripada empat beradik ini, sebelum kejadian itu, dia mengakui sudah beberapa kali bermain piano di rumahnya yang tidak begitu jauh dengan pusat belia terbabit.

“Walaupun ayah saya sudah lama bermain muzik, kami adik-beradik tidak begitu berminat sejak kecil dan saya sendiri tidak tahu macam mana secara tiba-tiba saya berminat dengan piano bermula penghujung 2017.

“Ketika itu, ayah memang ada ‘keyboard’ di rumah jadi saya belajar di Youtube sepenuhnya cara bermain piano dan aplikasikan di keyboard ayah saya.

“Saya sendiri tidak sangka minat spontan saya sehingga menjadikan rakan saya yakin untuk meminta saya bermain piano pada majlis perkahwinannya,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Amirullah berkata, dia kini mengikuti pengajian tahun akhir Diploma Kejuruteraan Kapal Terbang di Aviation Management College di Dengkil dan melakukan kerja sambilan sebagai runner sejak empat bulan lalu disebabkan jadual kelas tidak begitu padat.

“Saya sepatutnya dipanggil untuk latihan industri namun ditangguhkan susulan PKP jadi saya teruskan kerja ‘runner’ bagi mengisi masa lapang sambil menjana pendapatan sampingan.

“Setakat ini, saya masih mahu bina kerjaya dalam bidang pengajian saya namun selagi ada waktu terluang, saya ingin terus tingkatkan penguasaan saya dalam kemahiran bermain alat muzik piano,” katanya.

Sementara itu, pengguna Twitter yang memuat naik video Amirullah iaitu Muhammad Izat Abu Talib, 28, menganggap bakat Amirullah sebagai sangat mengagumkan dan perlu dikongsi dengan orang ramai.

“Saya memperoleh video itu daripada rakan saya yang sedang menjalani kuarantin di pusat belia terbabit disebabkan kami baru saja pulang daripada misi sukarelawan ke Nepal dan Bangladesh bulan lalu.

“Melihat dia masih menggalas beg ‘runner’ buatkan saya lebih kagum kerana majoriti kita tidak tahu apa kelebihan dan kemahiran seseorang ‘runner’ sehinggalah video sebegini menunjukkannya,” katanya.

Video Amirullah yang dimuat naik Izat diulangkicau lebih 51,000 kali dan mendapat hampir 70,000 tanda suka.