Senyuman terakhir Fawwaz

“DIA pergi dalam keadaan tenang dan kami semua berada di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” kata Mohd Bukhari Zainal Annuar, bapa kepada Muhammad Fawwaz Adli, 6, yang meninggal dunia petang semalam.

Muhammad Fawwaz Adli adalah kanak-kanak yang cedera parah selepas dihempap peti ais di rumah keluarganya di Taman Cempaka, Nilai, pada 12 Julai 2019.

Kanak-kanak itu menghembuskan nafasnya terakhir pada 4.30 petang di sebuah hotel di Melaka ketika sedang menjalani rawatan saraf.

Mohd Bukhari berkata, pemergian anak sulung daripada tiga beradik itu tidak menunjukkan sebarang tanda kerana sepanjang mendapatkan rawatan saraf, arwah kelihatan tenang.

“Dia tidak menunjukkan sebarang tanda seperti sesak nafas atau sebagainya, malah pada saat-saat akhir itu matanya masih terbuka dan tersenyum.

“Kami tidak menyangka akhirnya dia pergi jua. Allah lebih sayangkannya dan dia meninggal dunia di samping saya dan isteri serta adik-adiknya,” ketika ditemui sebaik selesai pengebumian Muhammad Fawwaz Adli di Tanah Perkuburan Islam Senawang, hari ini.

Tragedi yang menimpa Muhammad Fawwaz Adli mendapat perhatian selepas kanak-kanak itu diberikan rawatan bertukar ganti di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban dan Hospital Besar Kuala Lumpur.

Malah kedua ibu dan bapanya tidak pernah berhenti berusaha mendapatkan pelbagai jenis rawatan dengan harapan kanak-kanak itu pulih.

Turut hadir pada pengebumian Muhammad Fawwaz ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan yang juga Ahli Exco Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Malek dan kira-kira 50 ahli keluarga serta sahabat.

Mohd Bukhari berkata, dia membawa Muhammad Fawwaz ke Melaka sebagai ikhtiar untuk mendapatkan rawatan agar dia sembuh selepas lebih 14 bulan terlantar akibat tragedi dihempap peti sejuk.

“Rawatan saraf di Melaka semalam itu adalah kali keempat dibuat yang mengambil masa 45 minit bagi setiap rawatan, namun Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan anaknya itu selain memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan dan kaedah rawatan selama ini.

Dalam pada itu, Mohd Bukhari kesal dengan perbuatan segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan mendapatkan sumbangan kewangan menerusi laman sosial.

“Individu itu dilihat bertindak tidak berperikemanusiaan apabila mengambil kesempatan mendapatkan sumbangan kewangan bagi kepentingan dirinya dengan menggunakan nama Muhammad Fawwaz.

“Saya rasa kesal dan sedih kerana dia masih melakukannya sehingga ke hari ini,” katanya.

Berita berkaitan

• 12 kali dibedah, perkembangan Fawwaz positif

• Rindu Fawwaz panggil abah

• Fawwaz mungkin sembuh tiga tahun lagi

• ‘Bangunlah Fawwaz…’

• Kanak-kanak parah ditimpa peti ais