Seorang lagi mangsa keracunan karbon monoksida maut

Bukit Mertajam: Seorang lagi mangsa yang mengalami keracunan karbon monoksida ketika berehat dalam kereta di Kilometer 132.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat stesen minyak di Sama Gagah, di sini, dilaporkan meninggal dunia petang tadi.

Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia pada 4.23 petang selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Manakala kembarnya, Nor Aqilah kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

Ini menjadikan tiga maut dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis mendapat maklumat dari ibu mangsa berhubung kematian itu.

“Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia manakala kembarnya kini dalam pemantauan doktor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafee berkata, kenderaan dinaiki empat sahabat itu sudah diperiksa seorang juruteknik.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan disyaki berlaku kebocoran di bahagian ekzos kereta kerana mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.

“Akibat kebocoran itu menyebabkan asap disedut masuk ke dalam ruang kenderaan terbabit dan mangsa tidak sedarkan diri kerana terhidu gas,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 pagi, keempat-empat mangsa, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, Nor Adilahdan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti berehat di stesen minyak berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Empat mangsa yang belajar di sebuah kolej kejururawatan dekat Batu Caves berhenti rehat sebelum ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu karbon monoksida.

Sharifah Fariesha ditemui maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Berita berkaitan

• Kebocoran ekzos disyaki punca tragedi

• Pemandu pening kepala, muntah

• Bapa sendiri jumpa anak, rakan

• 2 sahabat maut, 2 kritikal lemas karbon monoksida