Serampang dua mata

Kuala Lumpur: Pengisytiharan Darurat dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) menjadi serampang dua mata untuk mengekang penularan Covid-19 di negara ini daripada merebak luas yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik pada 14 Januari sebagai berkata, usaha melandaikan semula lengkungan dijangka menunjukkan hasil menjelang Mei atau Jun 2021.

Ini, katanya, berdasarkan situasi semasa dan kadar kebolehjangkitan atau R Naught (Ro) melebihi 1.0.

Beliau turut menyifatkan tempoh dua minggu pelaksanaan PKP 2.0 yang meliputi enam buah negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – sebagai ‘sangat kritikal’.

KKM menyasarkan untuk menurunkan kes harian kepada antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Sebelum tindakan drastik kerajaan ini, Malaysia dibelenggu peningkatan kes harian yang agresif dan dikhuatiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mencapai antara 4,000 hingga 8,000 kes sehari menjelang bulan Mei 2021.

Unjuran KKM kes harian Covid-19 antara 4 Januari hingga 31 Mei 2021 sekiranya Ro kekal 1.2 dengan angka kes harian antara 3,000 untuk minggu kedua Februari, 5,000 kes harian minggu kedua April dan 8,000 kes harian pada minggu keempat Mei, 2021.

Tanda-tanda ke arah peningkatan besar kes harian sudah dapat dilihat apabila Malaysia mencatat rekod kes harian tertinggi, sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Semalam 14 Januari, negara mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 3,337 kes (3,330 penularan dalam negara dan 7 kes import), sejak pandemik Covid-19 membadai Malaysia.

Pada Selasa 12 Januari, sebanyak 3,309 kes harian baharu direkod dan sebelum itu, sebvanyak 3,027 kes positif Covid-19 diumumkan pada Khamis 7 Januari 2021.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman 9 Januari hingga 14 Januari 2021 – 2,451 kes (9 Januari), 2,433 kes (10 Januari), 2,232 kes (11 Januari), 3,309 kes (12 Januari), 2,985 kes (13 Januari) dan 3,309 (14 Januari).

Dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 negara kini berjumlah 147,855 kes, Malaysia yang pada hari Rabu berada di tangga 68, kini melonjak ke tangga 65, dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik, memintas Greece (147,283 kes), Guatemala (146,937 kes) dan Qatar (146,689 kes). Di hadapan Malaysia ialah Palestin dengan 150,505 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke-82 dengan 87,988 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga ke-88 dengan 59,029 kes.

Malaysia turut mencatat kes empat angka dalam lingkungan dua ribu pada 1 Januari 2021 (2,068 kes), 26 Disember (2,335 kes), 22 Disember (2,062 kes), 21 Disember (2,018 kes), 10 Disember (2,234 kes), 31 Dis (2,525) dan 24 November (2,188 kes).

Pelbagai langkah diambil kerajaan sejak Gelombang Ketiga pandemik Covid-19 melanda negara pada 20 September 2020 sehingga membawa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari 2021 memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perlaksaan PKP 2.0, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) untuk tempoh 12 Januari hingga 26 Januari 2021.

Enam negeri yang dikuatkuasakan PKP 2.0 adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Negeri-negeri yang dikenakan PKP 2.0 ditakrifkan negeri berisiko tinggi oleh KKM, terutamanya Selangor yang pada kebanyakan hari rangkuman mingguan mencatat kes harian COVID-19 yang tinggi sehingga mencecah lingkungan seribu kes sehari.

Enam negeri yang dikenakan PKPB pula adalah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, sementara Perlis dan Sarawak diletakkan di bawah PKPP.

Bukan sahaja berdepan dengan peningkatan agresif kes harian, KKM juga bimbang negara berdepan dengan penularan varian baharu Covid-19 yang dilaporkan di luar negara termasuk di United Kingdom (UK) yang dipanggil B117 dan dan Afrika Selatan, varian dikenali 501Y.V2.

Sementara itu, Dr Noor Hisham sebelum ini ada memaklumkan bahawa KKM mengesan satu kes Covid-19 varian B117 UK pada 12 Januari lalu, melibatkan seorang pengembara yang kembali ke tanah air dan dikesan positif pada 28 Disember 2020.

Pesakit berusia 22 tahun itu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj. Varian baru B117 ini dilaporkan dikesan di UK pada sekitar September 2020, sementara varian baharu di Afrika Selatan, dikesan sekitar Oktober 2020.