Seronok berlatih dalam cuaca sejuk

Kuala Lumpur: Pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tampak tidak kekok menjalani latihan dalam cuaca sejuk yang diiringi salji ketika berlatih dengan kelabnya, KV Kortrijk di Belgium.

Suhu satu darjah Celsius dan boleh turun sehingga ke negatif sememangnya jauh berlainan dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembab.

Bagaimanapun, cuaca sejuk itu tidak menghalang Luqman berlatih, malah dia kelihatan bertenaga sepanjang latihan.

Dia yang dihubungi Arena Metro mengakui gemar berlatih dalam cuaca sejuk dan memang sejak kecil mengimpikan untuk berlatih dalam salji.

“Saya memang suka sangat (berlatih dalam salji), sangat suka. Walaupun sejuk, tapi tak ada masalah kerana saya pakai baju yang berlapis-lapis.

“Saya pakai baju tiga lapis. Saya juga pakai seluar panjang, kalau kawan lain mereka lagi ‘relax’ pakai seluar pendek saja.

“Tapi saya memang suka dan tak ada masalah nak sesuaikan diri,” katanya.

Kelabnya turut berkongsi video latihan Luqman dan rakan sepasukan di laman sosial KV Kortrijk dan jelas kelihatan pemain berusia 18 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu teruja.

KV Kortrijk dijadual turun menentang KV Oostende di Diaz Arena dalam aksi Liga Belgium, malam ini.

Sementara itu, Luqman menyerahkan nasibnya di tangan pengurus pasukan, Yves Vanderhaeghe untuk aksi itu dan mengakui sudah bersedia jika diturunkan.

“Jurulatih ada perancangan dan saya akan ikut. Jika diturunkan saya akan beri yang terbaik dan kalau tidak pun tak mengapa, mungkin perlawanan akan datang,” katanya.

Ketika ini, Oostende dan Kortrijk mengisi kedudukan ke lapan dan ke sembilan liga dengan berkongsi 29 mata selepas mengharungi 20 aksi namun kelebihan jaringan meletakkan Oostende di depan.