Sesi sekolah tahun depan mula 20 Januari

SESI pembukaan penggal pertama persekolahan di seluruh negara bagi 2021 dimuktamadkan pada Rabu, 20 Januari 2021.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembukaan penggal pertama persekolahan itu lebih lewat berbanding kebiasaan berikutan pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada takwim persekolahan tahun ini.

Mengulas lanjut, katanya, takwim persekolahan 2020 sudah dipinda dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun bagi membolehkan pelajar mempunyai tempoh pembelajaran secara bersemuka yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya.

“Perancangan yang dibuat tidak boleh hanya tertumpu untuk tahun ini sahaja. Ini kerana kesan pandemik Covid-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Seperti yang saya maklumkan ketika sidang media pada 1 Julai lalu, KPM akan menyediakan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 dengan mengambil kira pelbagai aspek yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Adalah dimuktamadkan, pembukaan penggal pertama persekolahan untuk 2021 bagi semua sekolah di seluruh negara adalah ditetapkan pada Rabu, 20 Januari 2021,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Radzi berkata, ketika pengumuman pindaan takwim persekolahan tahun 2020 dibuat dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun, KPM merancang sesi persekolahan pada 2021 perlu dilewatkan kerana peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sendiri berlangsung lewat.

Katanya, bagaimanapun sebelum takwim 2021 dikeluarkan ia memerlukan proses pembabitan dan terdapat proses tatacara yang diperlu dilalui dan dilaksanakan sebelum ia boleh diumumkan.

“Apabila banyak keluhan, kami tidak mengambil kira keadaan guru, murid dan sebagainya, kita mengambil pendirian biarlah kita menyiapkan dahulu proses tatacara itu supaya ia berjalan dengan baik dan lancar dan sesi persekolahan tahun ini dapat ditamatkan dengan baik, ” katanya.

Menurutnya, setiap perancangan dibuat KPM untuk konteks Covid-19 ia memerlukan tempoh lebih setahun untuk memastikan semua keadaan kembali normal.

“Mengambil kira keseluruhan takwim 2021, cuti sekolah akan dinormalkan semula… yang mana hilang itu kita akan mengatur sedikit sebanyak pada tahun akan datang,” katanya.

Katanya, antara cabaran dihadapi KPM ialah kerisauan terhadap pelajar yang tidak dapat menguasai tahap minimum penguasaan pembelajaran seterusnya mungkin boleh menghilangkan motivasi mereka untuk terus belajar apabila memasuki sesi tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19