Sesuka hati masuk lorong kecemasan

TINDAKAN pemandu Toyota Camry putih menggunakan lorong kecemasan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bentong, Pahang, menyebabkan kenderaan itu melanggar sebuah motosikal, hari ini.

Kejadian itu tular selepas insiden berkenaan dirakam menerusi kamera pada bahagian belakang sebuah kereta dimuat naik di media sosial, hari ini.

Dalam rakaman video berdurasi 42 saat itu menunjukkan Toyota Camry berkenaan berada di lorong kiri sebelum sebuah motosikal dilihat melalui di lorong kecemasan.

Kereta itu kemudian dilihat memusing ke kiri dan memasuki lorong kecemasan tanpa menyedari terdapat motosikal sedang melalui laluan berkenaan.

Tindakan pemandu itu menyebabkan motosikal dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita itu jatuh.

Malah, pemandu Toyota Camry berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya dan terus beredar dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.