‘Setiap perbuatan meskipun terdesak tidak halalkan kesalahan’

Mencuri kerana lapar. Jatuh hukum seperti pencuri lain atau buang kes.

Pertimbangan itu perlu diperhalusi terutama oleh pengamal undang-undang selain pihak berkuasa sendiri seperti polis.

Pada masa sama, apa peranan komuniti dalam membantu mereka yang memerlukan. Masih perlu borang untuk diisi atau bantu terus, tanya kemudian.

Ikuti wawancara Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROF MADYA DR SALAWATI MAT BASIR dan wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi merungkai isu ini.

‘Mencuri untuk makan’ kerana tidak berkemampuan, perlu didenda, penjara atau diberi pertimbangan?

Tidak ada satu jawapan khusus untuk persoalan ini kerana kita perlu lihat setiap kes itu berbeza berdasarkan kepada fakta.

Kita perlu lihat asas setiap kes itu adalah berbeza. Kita juga tidak mahu nanti ada orang yang ambil kesempatan mencuri kononnya sebab kesusahan sedangkan fakta tidak sebegitu.

Perkara utama yang perlu kita lihat adalah benarkah seseorang itu mencuri kerana terlalu terdesak dan betul-betul tiada duit untuk makan serta memberi makan kepada keluarganya.

Sebenarnya, masih ada ruang untuk dia mendapatkan bantuan atas pertimbangan anggota komuniti kerana walau apa jua alasan, mencuri tetap tidak dibenarkan.

Itu juga yang digariskan dalam agama Islam serta perundangan, jadi kita perlu lihat setiap kes itu berbeza.

Curi RM1 untuk beli mi segera atau curi RM1 untuk beli rokok, bagaimana mahu kelaskan kesalahan ini dan jenis hukumannya?

Mencuri tetaplah mencuri, tidak kisah berapa nilainya kerana ia adalah satu kesalahan jenayah.

Namun pertimbangan yang jelas harus dibuat oleh pihak berkuasa yang melakukan siasatan sesuatu kes.

Walaupun satu kesalahan, pengecualian itu tetap ada, terpulang kepada pihak yang mendakwa dan pihak yang menyiasat sama ada wajar diambil tindakan atau sebaliknya.

Ia terpulang kepada kebijaksanaan pihak yang mendakwa dan seperti saya katakan tadi, kita perlu lihat setiap kes itu berbeza faktanya.

Mungkin benar dia mencuri RM1 untuk mi segera dan dalam keadaan itu, dia terlalu terdesak, jadi pertimbangan untuknya perlu ada.

Apa akan jadi jika trend ‘mencuri untuk makan’ jadi ikutan. Contoh, jika tiada wang, pergi saja mencuri kerana akan dibebaskan atau nasib dibela.

Ini yang saya katakan kita tidak pernah menggalakkan orang mencuri, malah agama Islam sudah meletakkan garis jelas berhubung kesalahan mencuri ini.

Setiap perbuatan kita walaupun terdesak tidak menghalalkan kesalahan berkenaan.

Jadi, pertimbangan dan pengecualian itu perlu diambil kira selepas melihat situasi sebenar dihadapi seseorang yang melakukan jenayah itu.

Kita tidak mahu nanti ramai pula orang ambil kesempatan, mencuri kononnya susah sedangkan ia adalah sebaliknya.

Komuniti sendiri menjadikan seseorang itu ‘mencuri untuk makan’ kerana pelbagai syarat dikenakan jika mahu meminta bantuan.

Saya tidak nafikan memang ada pelbagai isu dalam meminta bantuan serta pelbagai syarat dikenakan.

Namun, saya bukan ingin menyalahkan komuniti, tetapi sentiasa ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang menghulurkan bantuan.

Kita seharusnya meletakkan prinsip kemanusiaan dalam masyarakat.

Contoh, ada anak kariah yang dalam keadaan terdesak, meminta bantuan namun kita mengenakan pelbagai syarat.

Ini amat dangkal, apabila orang meminta bantuan, dia memang sudah berada dalam keadaan sangat terdesak.

Tidak perlu kita menyulitkan keadaannya dengan minta kad pengenalan, alamat rumah dan sebagainya.

Institusi rumah ibadat ini boleh dijadikan tempat penyatuan komuniti jika pengurusan dibuat dengan betul sekali gus memberi gambaran terbaik kepada Islam.

Segelintir pengurusan rumah ibadat terlalu berkira untuk ‘belanja’ individu atau keluarga benar-benar memerlukan namun sanggup keluarkan belanja besar untuk anjur ceramah.

Kita di Malaysia memang seperti itu, ada pihak pengurusan rumah ibadat begitu tegas dalam menyalurkan bantuan.

Jika ada orang musafir datang minta bantuan…RM20 pun tidak boleh, langsung tidak boleh dapat sedangkan mereka sanggup menganjurkan majlis ceramah yang besar.

Itu menjadi budaya dalam masyarakat, selagi mana kita mempunyai pemikiran ortodoks dalam pengurusan rumah ibadat, susah untuk kita ubah.

Mereka ini kebanyakannya tidak faham tentang pengurusan rumah ibadat, sedangkan institusi berkenaan boleh dijadikan tempat orang mendapat bantuan, perlindungan dan sebagainya.

Bagi segelintir pengurusan rumah ibadat ini, mereka hanya lihat rumah ibadat itu tempat sembahyang dan ceramah saja sedangkan fungsinya jauh lebih besar.

Persoalannya, bagaimana kita mahu memberi kesedaran kepada golongan ini sekali gus mengubah pemikiran terbabit.

Konsep gerobok rezeki lebih banyak di rumah ibadat dan tidak semua yang ke rumah ibadat untuk mengambilnya. Mungkin ada lokasi lain yang turut boleh diletak gerobok rezeki?

Gerobok rezeki ini juga boleh dikembangkan di stesen minyak. Kita letakkan di suatu tempat yang mudah untuk orang datang ambil dan mungkin pihak stesen minyak sendiri boleh membuat kawalan.

Tetapi tidak perlulah kita letak di tempat yang sukar untuk orang datang ambil dengan pelbagai syarat.

Kaedah mudahnya adalah, jika ada individu ingin menderma dalam gerobok rezeki itu, mungkin mereka boleh membeli di stesen minyak dan selepas membeli, letakkan di gerobok rezeki berkenaan.

Sama juga sistem gerobok boleh diadakan di sekolah. Mungkin ada ibu bapa yang benar-benar kesulitan, jadi langkah berkenaan dapat melegakan sedikit kesempitan mereka.

Apakah perlu pertimbangan masyarakat jika ada anggota komuniti yang menghadapi masalah kemiskinan sehingga mencuri.

Pertimbangan masyarakat sangat perlu, sebab itu Islam ada infaq, zakat dan anggota komuniti perlu mengambil tahu keadaan jiran tetangga.

Prinsip ini digariskan dalam Islam jadi anggota masyarakat perlu sedar terhadap tanggungjawab kita supaya tidak ada anggota komuniti berdepan dengan kesukaran sehingga tiada makanan untuk dijamah.