Siasat Menteri langgar perintah kuarantin – PM

KERAJAAN memandang serius dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebaik beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan berpendirian tiada sesiapa boleh terkecuali dan setiap rakyat Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara.

“Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika sidang Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai ketidakpatuhan arahan kuarantin oleh Mohd Khairuddin.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid pula dilaporkan berkata, sebanyak 27 laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19