Siasat onar ‘orang dalam’

Tasek Gelugor: Siasatan pihak berkuasa sama ada terdapat ‘orang dalam’ bersubahat dalam isu pelepasan najis babi ke dalam Sungai Kereh dijangka mampu menyelesaikan masalah yang berlarutan selama empat dekad itu.

Pengerusi Badan Bertindak Sungai Kereh Abdul Razib Abdul Rahim berkata, pihaknya bekerja keras apabila mengumpul data diperlukan bagi membantu mengatasi permasalahan penduduk yang berlarutan 40 tahun.

“Badan bertindak baharu ditubuhkan pada Mei lalu bekerjasama rapat dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) khususnya dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kariah masjid, persatuan nelayan serta pesawah.

“Terbaharu, kami pergi mengambil sampel air dan keputusannya akan diketahui tidak lama lagi di mana kami percaya 90 peratus punca pencemaran bukan disebabkan buangan domestik, tetapi dari najis babi dibuang terus ke dalam Sungai Kereh sepanjang 13 kilometer ini.

“Akibatnya, hampir 20,000 penduduk dari tujuh kampung menerima tempias dan menderita tanpa ada penyelesaian hingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan laporan bertulis sebaik data diperoleh sebelum membuat laporan polis.

Katanya, mereka tidak teragak-agak membawa perkara itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana hairan masalah itu gagal diatasi sehingga kini hingga wujudnya tafsiran ada orang dalam.

“Apa yang kami lakukan untuk penduduk dan setakat tiada ancaman dari mana-mana pihak namun sekiranya ada kami tetap akan berusaha demi penduduk di sini,” katanya.

Isu pencemaran Sungai Kereh mendapat perhatian Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) yang menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Khas bagi menangani permasalahan berkenaan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula akan menguatkuasakan Enakmen Penternakan Babi 2016 bermula 1 Januari 2021 di mana ia dijangka dapat menyelesaikan isu terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang Dr Anun Man berkata, pihaknya diberi kuasa melaksanakan enakmen terbabit termasuk Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 yang akan bermula awal tahun hadapan.

“Bermula pada 1 Januari 2021, JPV mengeluarkan lesen aktiviti penternakan dan ladang ternakan tanpa lesen akan dikenakan tindakan kompaun tidak melebihi RM15,000.

“Ada 31 syarat pelesenan perlu dipatuhi penternak babi yang mendapat lesen, dan sekiranya mereka gagal maka tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.

Katanya, semua ladang babi mematuhi syarat yang ditetapkan akan dilesenkan mengikut kategori keadaan ladang bagi memudahkan proses penguatkuasaan di bawah enakmen dan peraturan yang akan dikuatkuasakan kelak.

“Dengan pengurusan ladang babi yang teratur pastinya isu pencemaran dapat diatasi,” katanya.

AIR  sungai berwarna gelap serta berbau akibat pencemaran  di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor.
AIR sungai berwarna gelap serta berbau akibat pencemaran di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor.

Dua ladang diminta kawal pencemaran bau

Kerajaan negeri mengambil perhatian serius berhubung masalah pencemaran bau busuk di Malim Nawar, dekat sini, yang didakwa berpunca dari kandang babi terletak berdekatan penempatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pihaknya menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak melakukan siasatan berhubung permasalahan itu.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mengesahkan ada dua ladang babi di kawasan itu dengan kedua-duanya berdaftar dan dilesenkan JPV.

Katanya, penelitian mendapati jarak antara kedua-dua ladang terbabit dengan kawasan perumahan melebihi 2.4 kilometer dengan tahap pengurusan dan kebersihan ladang berada di tahap baik termasuk dari segi penyelenggaraan sistem pengolahan kumbahan.

“Berdasarkan kepada pemerhatian itu, JPV Perak menyatakan tahap pencemaran bau di kedua-dua ladang babi berkenaan berada pada tahap rendah namun pengusaha kedua-dua ladang itu pernah diberi Surat Amaran Tegas bertarikh 13 Julai lalu

“Mereka diminta meningkatkan kadar kepekatan produk effective microorganism (EM) yang digunakan bagi mengawal pencemaran bau iaitu kepada dua kali ganda atau lebih dalam makanan, rawatan kolam kumbahan, rawatan sisa pepejal dan sebagainya,” katanya.

Abdul Yunus berkata, pencemaran bau juga didapati berpunca daripada tindakan pengusaha terbabit membawa ternakan babi hidup menggunakan jalan dan laluan kawasan perumahan bagi tujuan jualan.

“Bagi masalah ini, kedua-dua pengusaha diarahkan serta-merta untuk menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Malim Nawar-Kuboi yang jauh dari perumahan penduduk.

“Kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan boleh menyebabkan penggantungan serta pembatalan lesen kerana kesalahan melanggar syarat lesen, iaitu mengikut Seksyen 13 (C) Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992.

“JPV juga akan membuat pemantauan berterusan dan secara berkala bagi memastikan pengusaha terbabit mematuhi arahan yang dikeluarkan,” katanya.